Penjaga gol legenda, Oliver Kahn, menyifatkan Julian Nagelsmann terlalu muda untuk
memegang jawatan pengurus di Bayern Munich sambil menegaskan bekas pasukannya itu perlu
memikirkan individu yang menjanjikan kejayaan jangka panjang untuk menggantikan Jupp
Heynckes.


Heynckes keluar daripada persaraan untuk mengendalikan Munich bulan lalu, susulan
berita pemecatan Carlo Ancelotti dan terus memacu pasukan meraih empat kemenangan
berturut-turut dalam liga, termasuk dalam pertemuan Klassiker dengan Borussia Dortmund.

Bagaimanapun, pengurus berusia 72 tahun itu hanya menandatangani kontrak sehingga akhir
musim ini dan menegaskan tidak berminat untuk mengendalikan pasukan dalam tempoh yang
lama selepas membawa pasukan meraih kejuaraan 'treble' sebelum bersara pada tahun 2013.

Bekas pengurus Dortmund, Thomas Tuchel, serta Nagelsmann adalah antara calon yang mengetuai
sasaran untuk mengemudi pasukan tetapi Kahn percaya pengurus berusia 30 tahun itu
terlalu muda untuk mengendalikan Bayern walaupun berjaya membawa Hoffenheim ke Liga
Juara-Juara Eropah (UCL), musim ini.

"Heynckes menyelesaikan masalah yang ada ketika ini dan dia membantu pasukan dengan
baik tetapi ia hanya untuk seketika dan bukan jangka panjang.

"Sukar untuk mencari pengurus buat Bayern. Anda menyebut nama Nagelsmann dan Tuchel.
Mereka pengurus yang baik tetapi bagi saya, terlalu awal untuk mendapatkan Nagelsmann
kerana dia terlalu muda buat pasukan.

"Tuchel juga pengurus yang bagus tetapi saya tidak pasti sama ada dia dapat menyesuaikan
diri dengan falsafah pasukan atau tidak," kata Kahn.

"Masalah Bayern adalah mereka tidak membangunkan falsafah sendiri dan tidak membentuk
jurulatih daripada akademi pasukan, sebab itu suakr untuk mencari pengendali yang sesuai
buat mereka," katanya.