Julian Nagelsmann sekali lagi menepis khabar angin yang mengaitkannya mengadakan perbincangan dengan jawatan di Bayern Munich apabila menganggapnya seakan-akan satu spekulasi yang menyaksikannya dia harus berpisah dengan seorang model Jerman yang padahal tidak pernah menjadi kekasihnya.

Pengurus RB Leipzig itu meluahkan perumpaan berkenaan sehari selepas Hansi Flick mengumumkan dia akan meninggalkan Bayern pada hujung musim ini.

Flick dijangka akan mengisi kekosongan dalam pasukan kebangsaan Jerman sebaik Joachim Low mengundurkan diri selepas Kejohanan Euro 2020.

Nagelsmann dijangka menjadi calon utama untuk mengantikan Flick di Allianz Arena dengan bekas pemain antarabangsa Bayern dan Jerman, Lothar Matthaus, melabelnya sebagai calon paling cocok.

Pengurus berusia 33 tahun itu merekodkan 52 kemenangan, 21 seri dan tewas 15 kali ketika 88 kali memimpin Leipzig dengan 59.09 peratus kemenangan.

Tetapi dia sekali lagi menegaskan bahawa tiada perbincangan yang berlangsung di antaranya dan Bayern.



"Tidak ada yang dapat saya laporkan," katanya dalam sidang media sempena bertemu Cologne, Rabu ini.

"Saya rasa ia satu kesilapan untuk mengatakan sesuatu tempat dan menjadikan diri anda penting dalam perkara-perkara yang tidak wujud.

"Saya tidak dapat duduk di sini dan misalnya berkata, saya akan berpisah dengan Lena Gercke (model Jerman) esok, sedangkan saya tidak pernah menjalinkan hubungan dengannya.

"Saya minta maaf untuk menjelaskan bahawa tiada perkembangan baru berbanding sidang media yang lalu. Situasi masih sama.

"Tidak akan ada dan pernah ada perbincangan mahupun tawaran berlaku.

"Itulah sebabnya saya tidak tahu apa keinginan Bayern. Saya telah mengatakan bahawa saya tidak mahu memulakan persengketaan dengan majikan saya -- inilah yang berlaku."