RB LEIPZIG 1 FREIBURG 1

Julian Nagelsmann mengakui RB Leipzig tidak berada dalam prestasi terbaik sehingga tergelincir daripada kelompok atasan Bundesliga selepas terikat 1-1 dengan Freiburg di laman sendiri malam tadi.


Leipzig ketinggalan 0-1 dalam perlawanan tertutup di Red Bull Arena itu apabila Manuel Gulde menjaringkan gol daripada sepakan penjuru Vincenzi Grifo pada minit ke-34.

Ketua pasukan, Yussuf Poulsen, menanduk masuk gol penyamaan pada 13 minit terakhir dan skuad kendalian Nagelsmann itu memperoleh banyak peluang pada penghujung saingan walaupun mereka bernasib baik apabila gol kemenangan Robin Koch buat Freiburg dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid.

Bercakap kepada media selepas tamat perlawanan, Nagelsmann menyatakan bahawa pasukannya kehilangan tahap terbaik berikutan waktu rehat panjang yang tidak dijangka gara-gara pandemik Covid-19.

"Saya gembira dengan rentak dan keamatan perlawanan ini, bukan keputusannya.

"Kami meletakkan mereka di bawah tekanan dalam babak kedua dan mencipta beberapa peluang baik.

"Ia waktu rehat yang panjang dengan tiada latihan selama berminggu-minggu.

"Anda tidak dapat mencipta rentak perlawanan dalam latihan, jadi ia tidak benar-benar menjadi," katanya.

Leipzig kini ketinggalan dua mata di belakang pasukan di tangga kedua, Borussia Dortmund, yang membelasah Schalke 4-0 dalam satu lagi perlawanan, manakala juara bertahan, Bayern Munich, akan berkelebihan tujuh mata di depan Leipzig sekiranya menewaskan Union Berlin dalam perlawanan awal pagi esok.

"Kami bermain dengan baik tetapi tidak memanfaatkan peluang, jadi perasaan saya bercampur-baur," kata Poulsen.

"Saya gembira kerana kami tidak tewas tetapi kami sudah pasti sepatutnya mengambil tiga mata."

Leipzig akan kembali beraksi dengan menentang Mainz hujung minggu depan.