MELILLA 0 REAL MADRID 4

Pertahanan Real Madrid, Nacho Hernandez, berpandangan pasukannya itu akan berjaya andai ketua jurulatih sementara, Santiago Solari, kekal mengemudi pasukan itu sepanjang musim ini selepas kejayaan menewaskan Melilla 4-0 dalam saingan Copa del Rey, awal pagi tadi.


Bekas pemain tengah Real Madrid, Solari, dilantik sebagai pengganti sementara selepas kelab itu memecat Julen Lopetegui ekoran kegagalan dalam pertembungan El Clasico berdepan Barcelona, minggu lalu.

Walaupun, Antonio Conte dan Roberto Martinez dikaitkan sebagai pengganti Lopetegui secara sepenuh masa, namun Nacho menegaskan dia dan rakan sepasukannya kini hanya fokus kepada keadaan terkini pasukan itu.

Selepas kejayaan Madrid menewaskan pasukan divisyen tiga, Melilla, Nacho memberitahu beIN SPORTS: "Kami akan berjaya andai dia (Solari) berada di sini sepanjang musim. Dia berasal dari sini, dia mempunyai pengalaman dan dia memenangi banyak gelaran bersama Madrid.

"Kami sebagai pemain tidak perlu terlibat dengan keputusan ini, namun dia sememangnya jurulatih yang baik.

"Skuad ini bersama Lopetegui, namun kami tidak mempunyai tuah.

"Kini, kami ada jurulatih yang baru. Dia sangat teruja dan kami juga perlu berjuang habis-habisan bersamanya."

Nacho mengakui kekalahan 5-1 kepada Barca bukan mudah untuk dihadapi.

"Ia waktu yang sukar selepas El Clasico di mana kami tidak menjangkakan kegagalan seperti itu," tambah pertahanan Sepanyol tersebut.

"Inilah bola sepak. Mujur kami mempunyai perlawanan dalam masa terdekat dan kami memperoleh kejayaan yang besar.

"Jelas, ia sangat menyakitkan untuk tewas seperti itu dan kami bernasib baik kerana masih ada banyak perlawanan di masa hadapan."