GENK 1 LIVERPOOL 4

Jurgen Klopp percaya masih terdapat ruang untuk Alex Oxlade-Chamberlain memperbaiki mutu permainan selepas meledak dua gol ketika Liverpool meraih kemenangan 4-1 ke atas Genk dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Oxlade-Chamberlain membuat penampilan pertama dalam saingan Eropah sejak mengalami kecederaan ligamen lutut dalam separuh akhir 2018 berdepan Roma.

Bekas pemain Arsenal itu membuka jaringan pada minit kedua di Luminus Arena dan jaringan keduanya sebelum perlawanan melewati minit ke-60 meleburkan harapan tuan rumah untuk bangkit.

Selepas menerima hantaran Roberto Firmino, Oxlade-Chamberlain melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol, Gaetan Coucke.

Sadio Mane dan Mohamed Salah menambah dua lagi jaringan sebelum pemain gantian, Stephen Odey, meledak gol sagu hati buat Genk.

"Ia merupakan saat yang cemerlang buat Oxlade-Chamberlain. Ia merupakan jaringan yang berkualiti tetapi saya berasakan mutu persembahannya boleh dipertingkatkan lagi," kata Klopp.

"Gol yang menarik dan sangat penting untuk kami."

Klopp berasakan Liverpool banyak membuka ruang kepada jentera serangan Genk selepas kerap kali hilang kawalan bola dalam separuh masa pertama.

"Perancangan kami berhasil untuk 10 hingga 15 minit pertama dan selepas itu, segalanya serba tidak menjadi.

"Kami kerap hilang bola dan mengambil risiko pada waktu yang salah. Beberapa hantaran yang tidak seharusnya dilakukan dan ia tidak masuk akal.

"Kemudian kami menjaringkan gol kedua dan ia telah melunturkan semangat Genk."