Mustafi bakal terlepas aksi berdepan Chelsea

Oleh Ammar Hakim 29 Julai 2020 114
Mustafi bakal terlepas aksi berdepan Chelsea
Pertahanan Arsenal, Shkodran Mustafi, dijangka terlepas saingan sehingga Oktober selepas menjalani pembedahan hamstring tetapi terdapat perkhabaran positif mengenai Bernd Leno dan Hector Bellerin menjelang final Piala FA.

Mustafi menjalani pembedahan kecil Sabtu lalu selepas mengalami kecederaan ketika aksi Piala FA ke atas Manchester City.

Pertahanan itu bakal terlepas permulaan musim hadapan dan hanya akan menonton aksi final berdepan Chelsea bagi merebut slot ke Liga Europa (UEL).

Mustafi turut tidak beraksi dalam final Piala FA berdepan lawan sama tiga tahun lalu tetapi cuba mengambil positif di sebalik apa yang berlaku terhadapnya.

"Terlepas final @EmiratesFACup buat kali kedua. Berita gembira adalah pembedahan berjalan dengan lancar dan saya seorang yang tidak mudah putus asa," katanya menerusi Twitter.

"Saya menerima situasi ini dengan tangan terbuka dan akan fokus untuk kembali ke gelanggang."
  Penjaga gol, Leno, mengalami kecederaan ligamen lutut kanan berikutan terjahan daripada penyerang Brighton and Hove Albion, Neal Maupay, bulan lalu dan meletakkan sasaran untuk kembali berlatih sepenuhnya bulan depan.

Bellerin tidak diturunkan ketika menang 3-2 ke atas Watford pada hari terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad lalu ekoran kecederaan betis, tetapi telah kembali berlatih sepenuhnya.

 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen