ARSENAL 1 QARABAG 0

Laurent Koscielny berkata musimnya baru bermula apabila kembali beraksi susulan dilanda kecederaan selama tujuh bulan dalam kemenangan 1-0 Arsenal ke atas Qarabag bagi aksi Liga Europa.


Pertahanan berusia 33 tahun itu tidak bermain untuk skuad utama The Gunners sejak ditimpa kecederaan tumit dalam kekalahan 1-0 dalam aksi separuh akhir Liga Europa kepada Atletico Madrid pada Mei lalu, namun dia mengharungi 72 minit permainan di Stadium Emirates, pagi tadi.

Alexandre Lacazette muncul wira kelab London itu apabila menyumbat gol tunggal perlawanan yang juga merupakan jaringan sulungnya dalam kempen Eropah musim ini.

Pengurus Arsenal, Unai Emery, gemar mengetengahkan tiga pemain pertahanan, iaitu Sokratis Papastathopoulos, Shkodran Mustafi dan Rob Holding sepanjang ketiadaan Koscielny, begitupun pemain Perancis itu berkata dia berasa kuat selepas membenam Qarabag.

"Ia sesuatu yang sukar," kata Koscielny kepada BT Sport. "Saya berdepan tempoh yang sukar, ia adalah kecederaan pertama saya.

"Saya perlu berehat lama dan ia sukar tetapi anda akan banyak belajar tentang diri anda dan orang di sekeliling anda. Saya sangat gembira dan tenang dengan diri saya yang kini menjadi lebih kuat.

"Bagi seorang pemain bola sepak, untuk terlepas aksi adalah sukar tetapi kini ia telah berakhir dan saya boleh tersenyum.

"Musim saya kini sudah bermula."

Emery menggunakan perlawanan menentang Qarabag, dengan tempat Arsenal ke peringkat kalah mati sudah terjamin, untuk menurunkan Koscielny dan Mesut Ozil dalam kesebelasan utama berikutan kecederaan mereka selain memberi peluang kepada beberapa pemain muda.

Pemain tengah, Bukayo Saka, menonjol ketika Arsenal menurunkan barisan tidak berpengalaman walaupun baru mencapai usia 17 tahun pada September lalu. Dia memiliki dua peluang berharga untuk muncul sebagai penjaring gol termuda kelab itu dalam pertandingan Eropah.

Saka menyifatkan kemunculannya itu sebagai mencapai impiannya dengan berkata: "Saya menyertai kelab ini pada umur lapan tahun. Saya selalu mengimpikan untuk beraksi di Emirates.

"Prestasi saya berkembang dalam perlawanan ini, itulah yang saya mahu lakukan. Saya sepatutnya menjaringkan gol pada saat-saat akhir tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku.

"Dalam sesi latihan Rabu lalu, (Emery) memaklumkan kepada kami dan saya seakan-seakan tidak percaya. Saya menyahut cabaran ini dan memberi tumpuan, namun ia terus berlegar dalam fikiran saya.

"Keluarga saya amat teruja dan malam tadi, saya tidak dapat berhenti daripada terus tersenyum. Mereka berjaya membuatkan saya tidur awal.

"Saya perlu bermain dengan baik di peringkat remaja serta akademi. Dan apabila saya mendapat peluang dalam pasukan utama, saya perlu memikat hati pengurus," tambahnya.