Jamal Musiala menandatangani kontrak profesional pertamanya bersama Bayern Munich.

Bintang Jerman semakin meningkat itu telah memuktamadkan masa depannya dengan jaguh berkenaan itu hingga 2026, hanya seminggu selepas mencecah usia 18 tahun.

Musiala menonjolkan kemajuan pesat sejak meninggalkan Chelsea dua tahun lalu apabila membuat 26 penampilan musim ini buat pasukan kendalian Hansi Flick itu.

Pada usia 17 tahun dan 363 hari, dia muncul sebagai pencetak gol termuda Liga Juara-Juara (UCL) buat Bayern ketika menyumbangkan kemenangan 4-1 dalam pertemuan pertama pusingan 16 ke atas Lazio.

"Saya sangat gembira dapat menandatangani kontrak profesional pertama saya di FC Bayern," kata Musiala melalui laman sesawang kelab.

"Saya berasa sangat seronok di kelab dan pasukan ini, saya beraksi di samping pemain terbaik di dunia dan saya dapat mempelajari banyak perkara daripada mereka dalam sesi latihan setiap hari.

"Hansi Flick, (Pengarah Sukan) Hasan Salihamidzic dan (Ketua Pencarian Bakat) Marco Neppe, termasuk keseluruhan kelab telah menaruh kepercayaan dan memberi saya peluang sejak awal lagi.

"Saya hanya mahu membalas kepercayaan itu dengan persembahan yang baik, terus menjadi lebih baik lagi dan memenangi lebih banyak gelaran dengan FC Bayern. Matlamat saya adalah untuk menjadi pemain penting buat kelab ini."




Salihamidzic berkata: "Kami amat gembira kerana Jamal telah memutuskan untuk menandatangani kontrak profesional pertamanya FC Bayern untuk jangka panjang. Ini merupakan satu usaha bersama.

"Sebelum Jamal datang ke FC Bayern pada musim panas 2019, kami harus meyakinkan dia dan keluarganya mengenai projek kami. Saya sangat gembira kerana sistem mencari pemain berbakat, mengembangkan mereka kemudian beralih ke dalam skuad utama kami membuahkan hasil.

"Marco Neppe telah memainkan peranan penting di sini. Kini kami semua harus memastikan bahawa Jamal dapat dilatih dan dicabar. Saya yakin bahawa dia akan membawa banyak kegembiraan kepada FC Bayern."

Musiala, yang bulan lalu menyatakan sudi mewakili Jerman di peringkat antarabangsa, juga diberi bayangan akan diserapkan oleh skuad kendalian Joachim Low itu dalam jadual antarabangsa hujung bulan ini.