Murillo mahu kekal bersama Barcelona

Oleh Staff Writer 28 Disember 2018 142
Murillo mahu kekal bersama Barcelona
Jeison Murillo mahu mengesahkan perpindahan secara tetap ke Barcelona selepas tiba di Camp Nou secara pinjaman.

Tatkala Samuel Umtiti masih belum pulih daripada kecederaan dan Thomas Vermaelen dijangka berehat sehingga bulan depan, Barca pantas mengambil tindakan dengan membawa masuk pertahanan baru menjelang babak kedua saingan LaLiga.

Murillo, yang menyinar ketika dipinjamkan ke Valencia musim lalu sebelum menandatangani kontrak tetap bersama Inter Milan, telah menuju ke Camp Nou untuk sementara.

Perpindahan itu turut melibatkan pilihan pembelian bernilai EUR25 juta (RM119 juta) dan Murillo tidak sabar untuk membuktikan kepada pengendali Barca, Ernesto Valverde, bahawa dia layak untuk meraih perpindahan tetap.

"Sebenarnya, saya sangat gembira dengan peluang ini. Terima kasih buat kelab di atas peluang yang diberikan dan kini hanya bergantung kepada kerja dan jurulatih," kata Murillo.

"Pastinya ia satu impian untuk kekal dan saya berharap dapat melakukannya. Sejak kecil, saya berusaha untuk mendapatkan situasi ini.

"Saya tahu di sini terdapat beberapa pemain hebat dan apa yang saya sedar, mereka juga merupakan satu keluarga yang baik. Ia satu impian yang menjadi kenyataan."

Barca melepaskan Yerry Mina, Ogos lalu, dan walaupun pertahanan Everton itu gagal menyinar di Sepanyol, Murillo menegaskan rakan senegaranya itu telah memberikan nasihat untuk ke Barca.

"Saya sangat rapat dengan Mina dan dia mencadangkan beberapa perkara untuk saya," tambah Murillo.

"Dia menasihatkan saya dan saya gembira. Kini saya perlu menggunakan kesempatan yang ada tetapi saya tidak boleh dibandingkan dengan Mina. Saya mahu membuktikan bahawa saya sebahagian daripada kelab dan itu matlamat utama."

Seorang lagi pertahanan yang dikaitkan dengan Barca adalah pemain Sao Paulo, Rodrigo Caio, apabila pengarah sukan juara bertahan LaLiga itu, Eric Abidal, mendedahkan minat kelab dengan pertahanan Brazil itu.

"Benar, salah satu nama yang kami pertimbangkan adalah Caio tetapi kami membuat keputusan untuk memilih Murillo," ujar Abidal.

"Sebagai pemain, saya boleh menyertai kelab lain tetapi akhirnya memilih Barca. Perkara ini berlaku dalam bola sepak dan mereka menghormati keputusan kami."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen