Mungkin wartawan kritik sebab mereka tidak boleh bermain bola sepak - Marcelo pertahan Lopetegui

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2018 258
Mungkin wartawan kritik sebab mereka tidak boleh bermain bola sepak - Marcelo pertahan Lopetegui
Marcelo berkata "semua wartawan cuba melukakan kami mungkin kerana didorong sifat iri hati, anda tidak tahu bagaimana bermain bola sepak" ketika bintang Real Madrid itu cuba mempertahankan pengurus, Julen Lopetegui.

Masa depan Lopetegui di Madrid menjadi bualan hangat setelah lima perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan biarpun kejayaan 2-1 ke atas Viktoria Plzen dalam Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi menawarkan sedikit kelegaan. 

Masa depan bekas ketua jurulatih Sepanyol tersebut masih dalam keraguan, justeru pertahanan kiri Madrid, Marcelo, membidas semula media sambil menyokong pengurus berusia 52 tahun berkenaan. 

"Sukar jika anda tidak menang tetapi anda bercakap tentang krisis, anda bagaikan mahu menyakiti skuad ini," kata Marcelo yang menjaringkan gol kemenangan yang amat diperlukan itu.

"Semua wartawan cuba melukakan kami, mungkin sebab iri hati kerana mereka tidak tahu bagaimana bermain bola sepak."

"Pada pandangan saya, beliau melaksanakan tugas yang hebat," tambah Marcelo.

Marcelo terpaksa dikeluarkan dalam kemenangan di Santiago Bernabeu itu ekoran kecederaan ringan. 

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun dari Brazil itu meredakan kebimbangan terhadap kelibatnya menjelang pertembungan 'El Clasico' dengan juara LaLiga, Barcelona, Ahad ini. 

"Saya berasa dalam keadaan baik ketika ini, saya menerima asakan keras dan pengadil perlu memantau perkara ini," kata Marcelo.

Mengenai kecergasan Marcelo, Lopetegui berkata: "Kami perlu tunggu, ia kelihatan kecederaan buruk tetapi bukan membabitkan masalah otot, saya berharap kami boleh memiliki khidmatnya pada Ahad nanti."

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen