Thomas Muller berpendapat dia tidak akan menandatangani kontrak lanjutan bersama Bayern Munich jika Niko Kovac masih bergelar pengurus pasukan.

Minggu ini, bekas penggempur Jerman, Muller, bersetuju untuk terus kekal di Allianz Arena sehingga Jun 2023.

Pemain berusia 30 tahun itu tampak sinonim dengan Bayern dan menduduki tangga keempat senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab itu dengan 195 gol dalam 521 penampilan.

Namun, dia dipinggirkan di bawah kendalian Kovac sebelum pengendali itu dipecat, November lalu.

Sejak kehadiran Hansi Flick selaku pengendali sementara, Muller mencipta kebangkitan, meledakkan enam gol dan mencatat 12 bantuan jaringan dalam 15 penampilan Bundesliga.

"Sewaktu musim luruh, saya diketepikan daripada kesebelasan utama dalam enam perlawanan berturut-turut. Ia sukar. Sudah tentu ia membuatkan saya terfikir," katanya.

"Ia menyentuh emosi dan ketika itu, saya tidak fikir akan menandatangani lanjutan kontrak musim luruh.

"Perubahan jurulatih dan corak permainan membuatkan semua perkara menjadi positif.

"Bukan sahaja saya kerap beraksi tetapi dapat menemui rentak permainan semula."


Isnin lalu, pemain Bayern Munich kembali menjalani latihan dalam kelompok kecil dalam langkah berjaga-jaga susulan wabak coronavirus.

"Kami cuba mengikut arahan pihak atasan," tambahnya.

"Saya tidak tahu kekangan atau larangan di tempat lain.

"Kami harus sesuaikan diri dalam semua struktur. Saya tidak tahu jika bola sepak memiliki tempat istimewa.

"Kami mahu bermain bola sepak dan sudah tentu ia bukan hanya melibatkan pandangan saya. Ini adalah situasi berkecuali, bukan hanya untuk bola sepak."