Muller kagum cara Flick tangani tekanan

Oleh Ammar Hakim 4 Jun 2020 50
Muller kagum cara Flick tangani tekanan
Thomas Muller kagum dengan cara Hansi Flick menangani tekanan sepanjang bergelar sebagai ketua jurulatih Bayern Munich.

Flick menandatangani kontrak untuk menjadi pengendali tetap Bayern sehingga 2023 April lalu, setelah mengambil alih daripada Niko Kovac secara sementara sejak November.

Dia telah merekodkan lapan kemenangan liga berturut-turut, sekaligus membantu pasukan gergasi Jerman itu mendahului tujuh mata di puncak Bundesliga.

Ini merupakan kali pertama Flick memegang jawatan sebagai ketua jurulatih sejak tahun 2005 dan Muller, memuji cara pengendali berusia 55 tahun itu menangani tekanan tersebut.

"Saya mengenalnya daripada pasukan kebangsaan Jerman, tetapi beliau telah memperkembangkan pengetahuan serta kemampuannya," katanya.

"Saya tidak mengenalnya sebagai ketua jurulatih, tetapi saya sangat kagum dengan usahanya menangani peranan yang begitu besar ini.
  "Media tidak selalunya berada di pihak anda dan anda harus sangat berjaya untuk selesa di sini. Saya berasakan Flick menanganinya dengan baik sekali."

Bayern telah menjaringkan 13 gol dalam empat perlawanan mereka sejak kembali beraksi bulan lalu, dengan Muller tidak meragui lagi bahawa keinginan Flick untuk bermain agresif menjadi kunci kejayaan mereka.

"Yang paling penting bagi saya adalah dia mahu kami bermain dengan agresif tanpa bola," tambahnya. "Sekarang, kami bermain dengan sangat agresif, menekan di bahagian lawan. Kami cuba menyerang lawan sangat awal dan dengan intensiti tinggi."

Usaha Bayern untuk bergelar juara liga buat kali kesembilan diteruskan menerusi perlawanan berdepan Bayer Leverkusen Sabtu ini.



 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen