Joachim Low menegaskan kehadiran Thomas Muller dan Mats Hummels dalam skuad Jerman adalah penting menjelang saingan Liga Negara-Negara UEFA.

Tahun yang mengecewakan buat Die Mannschaft berterusan apabila mereka sah menamatkan saingan Kumpulan 1 dalam Kumpulan A sebagai pasukan tercorot selepas Belanda mengatasi Perancis kelmarin.

Maruah bekas juara dunia itu, bagaimanapun, dipulihkan menerusi kemenangan bergaya 3-0 ketika berdepan Russia dalam aksi persahabatan.

Mencipta kemenangan dengan menurunkan barisan muda, Low, bagaimanapun, menjelaskan kepentingan pemain berpengalaman seperti Muller dan Hummels buat skuad bimbingannya.

"Muller dan Hummels menghadirkan tenaga buat pemain-pemain muda skuad ini," katanya.

"Ia amat mengecewakan kerana tiada apa yang mampu kami lakukan dalam saingan Liga Negara-Negara. Kami perlu menerima pengajaran ini dan mengambil langkah yang sebaik-baiknya."

Muller, yang gagal mencetak sebarang jaringan dalam Bundesliga sejak September lalu, bakal meraih penampilan ke-100 jika turun beraksi berdepan Belanda, awal pagi esok.

Berada dalam keadaan tertekan untuk mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama pasukan, pemain berusia 29 tahun itu tetap diberikan pujian oleh Low selepas memberikan dedikasi sepanjang lapan tahun dalam saingan antarabangsa.

"Thomas Muller berhak menerima penghormatan.

"Dia jarang mengalami kecederaan dan sentiasa bersedia untuk skuad kebangsaan.

"Dia telah mengerah keringatnya untuk pasukan ini."