Muller enggan ambil sepakan penalti buat Bayern

Oleh Staff Writer 29 Oktober 2016 0
Muller enggan ambil sepakan penalti buat Bayern

Gara-gara gagal menyempurnakan sepakan penalti berdepan Augsburg pada Rabu, Thomas Muller mengambil keputusan untuk menyerahkan tugas itu kepada pemain lain di Bayern Munich.

Pemain kebangsaan Jerman itu turut menarik diri daripada tugas sama di pentas antarabangsa selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika di pentas Euro 2016.

Namun, kini selepas lima kegagalan sejak Ogos 2015, Bayern terpaksa melantik pemain lain bagi memikul tugas itu.

Muller meluahkan rasa tidak puas hatinya ketika aksi DFB Pokal meskipun kegagalannya tidak memberikan impak negatif susulan Bayern berjaya melakar kemenangan 3-1.

"Kegagalan menyempurnakan sepakan penalti menyakitkan hati saya," katanya kepada Bild.

"Selepas ini, saya hanya akan fokus dengan perlawanan bola sepak dan akan menyerahkan tugas itu kepada rakan sepasukan."

Walaupun menjaringkan 20 gol musim lalu, Muller masih ketandusan jaringan musim ini.

Bagaimanapun, pengendali Bayern, Carlo Ancelotti berkata dia tidak mempunyai masalah dengan kegagalan Muller menyelesaikan tugasnya.

"Kebiasaannya, Robert Lewandoski merupakan calon utama untuk mengambil sepakan penalti," katanya. "Muller sudah melakukan tugas baik sebelum ini, jadi pada saya ini bukan satu masalah.

"Kami mempunyai ramai pemain yang berkemampuan untuk mengambil sepakan itu, antaranya Arjen Robben dan Arturo Vidal."



Tentang Penulis

Staff Writer

Komen