Bekas pemain Bayern Munich, Roy Makaay, percaya Thomas Muller boleh bermain sebagai penjaga gol, jika diperlukan.

Pemain kebangsaan Jerman itu mengharungi musim yang sukar apabila sekadar menjaringkan empat gol dalam 23 penampilan Bundesliga.

Makaay memberikan pujian kepada Muller dan menggesa pemain berusia 27 tahun itu untuk terus bekerja keras mencari rentak permainan terbaiknya.

"Sukar untuk mengenal pasti sama ada posisi terbaik Muller adalah penyerang ataupun di bahagian tengah. Saya dapat membayangkan dia sebagai penjaga gol dan masih mampu bermain dengan baik. Dia bukan seorang penyerang ataupun pemain tengah yang tulen, dia berada di antara dua posisi tersebut," kata Makaay.

"Kami sering menyaksikan Muller menjaringkan 15 hingga 20 gol semusim.

"Dia tidak perlu menukar gaya permainannya atau kemahirannya. Saya percaya Muller perlu lebih bersabar dan mencari semula sentuhan penyudahnya."

Sebaliknya, Robert Lewandowski kini telah meledak 38 gol dalam 40 perlawanan dan Makaay percaya pemain kebangsaan Poland itu mengangkat dirinya sebagai penyerang terbaik dunia.

"Lewandowski adalah penyerang terbaik dunia.

"Dia telah membuktikannya setiap minggu. Lewandowski bukan sahaja menjaringkan gol yang banyak, ia adalah jaringan yang penting.

"Bayern mungkin menghadapi masalah besar jika dia mengalami kecederaan dalam tempoh yang panjang."