Thomas Muller mungkin digantung dua perlawanan bagi aksi pusingan 16, Liga Juara-Juara (UCL) bersama Bayern Munich susulan sepakannya yang mencederakan ketua pasukan Ajax, Nicolas Tagliafico, dalam aksi yang berkesudahan seri 3-3, semalam.

Pemain Jerman, Muller, dilayangkan kad merah dalam insiden pada minit ke-75 itu ketika dia cuba menyambut bola tinggi dengan kakinya yang mengenai kepala Tagliafico sehingga melukai pertahanan tersebut.

Pemain berusia 29 tahun itu berdepan hukuman lebih keras berbanding penggantungan satu perlawanan sekiranya Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menganggap insiden berkenaan sebagai satu kesalahan yang serius dalam proses pendengaran pada 10 Januari depan.

Pemain tengah Ajax, Maximilian Wober, juga menghadapi situasi serupa selepas dibuang padang atas terjahan kerasnya terhadap Leon Goretzka, lapan minit sebelumnya.

Keputusan seri dalam aksi menghiburkan di Amsterdam itu sudah cukup untuk Bayern mara sebagai juara Kumpulan D, berkelebihan dua mata berbanding wakil Eredivisie itu.

Kedua-dua kelab, bersama-sama dengan Barcelona dan Shakhtar Donetsk, berdepan prosiding tatatertib UEFA dan berpotensi didenda kerana masalah yang tercetus di luar padang.