BARCELONA 2 DYNAMO KIEV 1

Ronald Koeman berterima kasih kepada Marc-Andre ter Stegen atas peranan cemerlangnya dalam kemenangan tipis Barcelona 2-1 ke atas Dynamo Kiev dan mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki mereka.


Kemenangan ketiga gergasi dari Catalan itu dalam kempen Kumpulan G, Liga Juara-Juara (UCL) di Nou Camp, awal pagi tadi, terhasil menerusi sepakan penalti Lionel Messi pada minit kelima dan tandukan Gerard Pique dalam separuh masa kedua.

Begitupun, Barca memerlukan Ter Stegen untuk menepis enam percubaan menarik Dynamo, yang kem mereka dilanda COVID-19, termasuk percubaan berbahaya daripada Vitaliy Buyalskiy.

Viktor Tsygankov, yang membuat penampilan pertamanya pada musim ini selepas pulih daripada kecederaan lutut, akhirnya berjaya menembusi tembok kebal dibina Ter Stegen namun Barca sudah pun menghidu kemenangan.

"Dia terbukti seorang penjaga gol yang hebat buat kami," kata Koeman kepada Movistar selepas perlawanan.

"Dia berlatih dengan baik dan kita boleh lihat hasilnya pada hari ini.

"Kami memulakan perlawanan dengan baik dan dengan segera menjadikannya 1-0, tetapi kami sukar memburu gol kedua, kemudian hilang penguasaan perlawanan.



"Terima kasih kepada Marc yang mempamerkan aksi luar biasa, kami berjaya mengelak percubaan lawan."

Barca mengharungi permulaan terburuk dalam kempen LaLiga apabila sekadar memungut tiga mata, sebaliknya dalam laluan selesa untuk mara ke pusingan 16 UCL.

Mereka tiga mata di depan Juventus sementara berkelebihan lapan mata ke atas Ferencvaros dan Dynamo dengan aksi timbal balik akan bersambung tiga minggu lagi.

Lantas, Koeman sukar untuk berasa terlalu positif apabila menambah: "Kami perlu beraksi dengan lebih baik dan memperbaiki pendekatan tanpa bola.

"Hari ini kami tidak melakukannya dengan baik. Secara umumnya, kami telah bertahan dengan baik. Tetapi hari ini pihak lawan mengancam kami dan kami mesti membincangkannya dan memperbaiki pendekatan kami ketika tanpa bola."

Panjaga gol pelawat, Ruslan Neshcheret, turut tangkas membuat 12 aksi menyelamat dalam penampilan senior keduanya.