Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Johor muncul juara Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Bawah 11 Tahun Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Yayasan Bank Rakyat (YBR) di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, kelmarin.

Diwakili Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, MSS Johor menewaskan SK Cochrane dari MSS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam aksi final dengan keputusan 5-4 menerusi penalti selepas terikat 1-1.

Kejayaan itu membolehkan MSS Johor membawa pulang trofi, medal dan wang tunai RM1,500 manakala naib juara turut memenangi trofi, medal serta hadiah wang tunai RM1,000.

Lebih manis lagi, penjaga gol mereka, Muhammad Danish Othman, dinobatkan selaku Pemain Terbaik Kejohanan.

Pemain SK Seri Langat (MSS Selangor), Oventhiran a/l Gobalan, pula diumumkan penjaring terbanyak dengan tujuh gol.

Bagi MSS Johor, ia merupakan kejuaraan kelima tahun ini setelah berjaya mengungguli saingan peringkat zon, daerah, negeri dan seterusnya kebangsaan.

Menurut pengurus pasukannya, Mohd Afifi Endut, dia sangat berbangga dengan pencapaian skuad yang mula dikumpulkan sejak tiga tahun lalu selain merealisasikan sasaran bergelar juara.

Jelasnya, corak disiplin yang diterapkan sepanjang latihan membuahkan hasil walaupun pasukan lain dibarisi pemain yang bertubuh besar.

“Mungkin pemain saya bertubuh kecil tapi pasukan ini berkelebihan dari segi kelincahan serta corak berdisiplin di dalam dan luar padang.

“Kami berlatih dua kali seminggu sejak memenangi peringkat negeri, Mei lalu, dengan memberi keutamaan kepada aspek disiplin dan teknikal,” katanya.

Kejohanan edisi ketiga itu disertai 16 pasukan sekolah terbaik dari setiap negeri yang bertujuan mencungkil bakat di peringkat akar umbi selain mengadakan klinik bola sepak.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi YBR, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, yang diiringi Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, dan Timbalan Pengarah Sukan KPM, Zainal Abas.