Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, akan mengawal ketat aspek kewangan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) apabila Jawatankuasa Pemantau NFDP mencadangkan program itu diletakkan di bawah Bahagian Pengurusan Atlet MSN.

Beliau menjelaskan NFDP akan mengalami rombakan besar-besaran dalam soal pengurusan dan operasi.

Jawatankuasa Pemantau NFDP mencadangkan MSN memantau aspek pengurusan sementara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjaga aspek teknikal.

Kerjasama itu dijangka menghasilkan keputusan lebih baik selepas skuad B-16 negara gagal mencapai sasaran layak ke Piala Dunia B-17 2019 selain keadaan menyedihkan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.

"Insya-Allah, kami akan menghasilkan kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Kami akan menyelaraskan kerjasama sebagai satu unit yang akan menjaga NFDP," kata Shapawi.

Bagi Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, pihaknya menyambut baik cadangan itu.

"Kami sebagai badan yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas faktor teknikal yang patut diberikan kepada NFDP, sedia memberikan input tersebut," ujar Subahan.

Kedudukan Lim Teong Kim sebagai pengarah AMD tidak dibincangkan sementara Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Abu Bakar, akan menghabiskan tempoh notis sehingga Disember depan selepas meletakkan jawatan bulan lalu.