Juara bertahan, Kelantan, terus membuktikan kehebatan apabila mengalahkan Sabah 2-1 dalam final bola sepak senior Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (MSKPPM) Ke-45 di Padang Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Paroi, Negeri Sembilan, pagi tadi.

Kejayaan hatrik itu jelas meletakkan skuad Pantai Timur itu berada dalam kelas tersendiri selepas muncul juara di Kedah (2016) dan Putrajaya (2015).

Kelantan menjaringkan gol pembukaan melalui rembatan penyerang berbisa, Harizan Abd Hamid, pada minit ketujuh yang juga merupakan gol ketujuh peribadinya sepanjang kejohanan ini.

Kedudukan Kelantan bertambah selesa apabila sepakan percuma cantik Mohd Fadhil Yusoff terus menewaskan penjaga gol Sabah pada minit ke-57.

Sabah kembali bernyawa apabila menjaringkan gol melalui penyerangnya hasil kesilapan benteng pertahanan Kelantan pada minit ke-67.

Pengurus pasukan, Mohd Eriszarizi Mohd Deris, memuji prestasi keseluruhan pemainnya yang begitu tenang menguasai permainan untuk mengecewakan Sabah.

"Syukur kepada Allah kerana kami berjaya mengekalkan kejuaraan (tiga tahun berturut-turut) dan tahniah kepada semua pemain, pengurusan dan pegawai JPN Kelantan yang banyak memberi sokongan," katanya.


Keputusan penuh

Johan: Kelantan
Naib Johan: Sabah
Ketiga: Negeri Sembilan