Jose Mourinho tidak berharap Steven Bergwijn akan dapat diturunkan untuk mewakili Tottenham Hotspur musim ini tetapi yakin pasukannya mampu bangkit dalam pertemuan dengan RB Leipzig dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah awal pagi lusa.

Spurs mendedahkan bahawa Bergwijn terseliuh lutut kiri ketika terikat 1-1 dengan Burnley Sabtu lalu.

Ia menambahkan kesulitan Tottenham di bahagian serangan selepas Harry Kane dan Son Heung-min turut akan terlepas baki musim ini ekoran kecederaan jangka panjang.

Pertahanan kiri, Ben Davies, juga tidak dapat diturunkan untuk menentang Leipzig dengan skuad kendalian Mourinho itu perlu bangkit selepas tewas 0-1 di Stadium Tottenham Hotspur dalam perlawanan pertama bulan lalu.

Bagaimanapun, pengurus itu masih menaruh harapan menjelang pertemuan di Arena Red Bull berkenaan.

Mengenai kecederaan terbaru yang melanda pasukannya, Mourinho berkata dalam sidang media sebelum perlawanan: "Saya tidak dapat percaya.

"Ben (akan diketepikan) seminggu atau dua minggu.

"Mengenai Steven, saya tidak fikir dia dapat diturunkan lagi musim ini.

"Kami sudah biasa mengenainya.

"Apa yang saya katakan, psikologi kami lebih menurun dengan kecederaan lain kerana apabila anda berdepan dengan empat atau lima kecedeaan, apakah yang keenam dan ketujuh?

"Kami ketinggalan 0-1 pada separuh masa dua hari lalu (kepada Burnley).

"Ia sesuatu yang berlaku kepada kami beberapa kali musim ini.

"Anda bertanyakan kepada saya bagaimana untuk menjaringkan gol tanpa Kane, Son atau Bergwijn tetapi terdapat banyak cara untuk menjaringkan gol.

"Pemain Leipzig boleh melakukan apa yang Antonio Rudiger lakukan dan menjaringkan gol untuk kami (terjaring gol sendiri ketika Spurs tewas 1-2 kepada Chelsea bulan lalu)," katanya.

Kekalahan dalam perlawanan itu akan memusnahkan impan Spurs untuk menamatkan penantian trofi mereka musim ini selepas disingkirkan daripada Piala FA minggu lalu.

Bagaimanapun, Mourinho yakin bahawa dia akan menghadiahkan kejayaan buat pasukan itu sepanjang tempoh perkhidmatannya.

"Saya percaya Tottenham tidak akan menjadi satu-satunya pasukan saya tanpa trofi.

"Saya memenanginya di setiap kelab dan saya percaya akan melakukannya di Tottenam," tambahnya.