Mourinho terlepas sebarang tindakan disiplin 

Oleh Penulis Jemputan 29 November 2018 159
Mourinho terlepas sebarang tindakan disiplin 
Jose Mourinho tidak akan berdepan hukuman Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) susulan tindakannya di tepi padang ketika Manchester United melakar kemenangan 1-0 ke atas Young Boys, semalam. 

Pengurus Portugis itu memilih untuk meraikan jaringan tunggal Marouane Fellaini ke atas wakil Switzerland itu pada minit ke-91 dengan menghempaskan 10 botol minuman.

Kejadian itu tidak dapat dielakkan daripada menjadi tajuk utama, namun UEFA memilih untuk tidak mengambil serius perkara itu dan tidak akan mengenakan sebarang tuduhan disiplin terhadap Mourinho atau United.

Ia bukan kali pertama Mourinho melepaskan kekecewaannya dengan menggunakan botol air.

Pada November 2016, Mourinho dikenakan larangan satu perlawanan oleh FA kerana menendang bekas minuman semasa seri dengan West Ham. Dia, bagaimanapun, terlepas hukuman atas perbuatan serupa ketika menentang Crystal Palace, awal musim ini.

Ditanya mengapa dia bertindak seperti itu biarpun pasukannya di ambang kemenangan ke atas Young Boys -- dan layak ke pusingan 16 -- Mourinho berkata: "Kelegaan. Sebelum itu saya kecewa, kemudian hadirnya kelegaan. 

"Kami tidak bermain untuk itu, kami tidak bermain untuk 0-0 atau berada dalam masalah sehingga minit terakhir.

"Kekecewaan, saya tidak berpuas hati dengan pemain. Saya langsung tidak gembira. Saya kecewa bahawa kami tidak dapat menjaringkan gol, namun pemain saya sangat letih pada penghujung perlawanan dan itulah yang menggembirakan saya. Ia bermakna mereka telah mengerah segala kudrat. 

"Mereka mempunyai detik permainan yang bagus dan jaringan yang cantik. Namun, tekanan pula hadir dan keyakinan yang rendah mengecewakan kami.

"Akhirnya, kami menjaringkan gol, saya mahu menyatukan gol tersebut dengan situasi David (de Gea) menyelamatkan gawangnya. Tanpa ketangkasannya, maka tiada gol kemenangan.

"Akhirnya, kami layak dengan satu lagi baki perlawanan. Kami cukup menderita, namun kami mengharunginya."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen