Jose Mourinho mengakui terkejut dengan permulaan hebat karier penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, bersama pasukannya selepas membantu United menewaskan CSKA Moscow dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Lukaku menjaringkan dua gol dalam aksi di Moscow, menjadikan jumlah keseluruhan jaringan yang dihasilkannya kepada 10 selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Pencapaian itu membuatkan Mourinho amat teruja dengan penyerang Belgium itu yang tiba di United dari Everton melalui perpindahan bernilai GBP75 juta (RM424 juta).

"Lukaku memiliki rekod yang menarik dan kita semua tahu bahawa dia merupakan penjaring gol yang hebat apabila dikelilingi oleh pemain berkualiti.

"Saya harus akui bahawa dia sering menjaringkan gol penting dalam setiap perlawanan," kata Mourinho.

Kemenangan itu menyaksikan United berada di tangga teratas Kumpulan A, membuatkan Mourinho semakin optimis untuk meraih lebih banyak kejuaraan.

"Enam mata daripada dua perlawanan, ia sesuatu yang bagus. Kami mempunyai baki empat aksi kumpulan dan telah bermula dengan positif.

"Saya hanya mahu memenangi trofi, itu sahaja," katanya lagi.