LASK 3 TOTTENHAM 3

Jose Mourinho tidak senang dengan keputusan Tottenham diikat LASK 3-3 dalam Liga Europa, awal pagi tadi, yang menyaksikan skuad kendaliannya layak ke pusingan kalah mati.


Sepakan penalti lewat permainan daripada Dele Alli membolehkan Spurs mengelak kekalahan dalam aksi hambar menjelang pertembungan 'derby' London utara, awal pagi Isnin ini.

Usaha Mamoudou Karamoko sebelum wisel penamat membolehkan LASK berkongsi mata selepas sentuhan pemusnah daripada Peter Michorl dan Johannes Eggestein buat tuan rumah untuk memadam kelebihan Spurs yang disumbangkan Gareth Bale, yang menyumbat gol ke-200 kariernya -- dan Son Heung-min.

Tottenham hanya melancarkan lapan percubaan berbanding LASK 14 kali selain wakil Austria itu menguasai 54.2 peratus permainan dan menyempurnakan 70.7 peratus hantaran.

Satu mata sudah memadai untuk kelab London itu melolosi Kumpulan J namun Mourinho tidak tertarik dengan persembahan anak buahnya.

"Tidak bagus," katanya dalam sidang akhabar.

"Keputusan perlawanan ini lebih baik daripada persembahan kami. Separuh masa kedua lebih baik daripada babak pertama.

"Sesetengah pemain memperagakan permainan individu yang memberangsanbgkan dan begitu juga sebaliknya. Satu-satunya perkara yang saya ambil dalam aksi ini ialah kami dapat mengesahkan kemaraan.

"Kami sudah layak jadi kami tidak akan tertekan untuk beraksi dalam perlawanan terakhir kelak tetapi kami masih perlu menang dan saya percaya kami mampu mencapainya."





Harry Kane, yang sudah merakamkan sembilan bantuan gol dan tujuh jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), direhatkan dalam pertembungan di Linz itu sambil Mourinho mengesahkan penggempur berwibawa England tersebut dalam proses mengatasi kecederaan ringan.

Begitupun, pengendali Portugis itu yakin Kane akan cergas untuk berdepan Arsenal.

"Saya percaya Kane akan cergas," katanya.

"Dia sedang menjalani pemulihan dan saya mungkin dianggap sedang mengadakan-ngada cerita ini tetapi ia adalah hakikat dan saya fikir dia akan beraksi berdepan Arsenal."