Jose Mourinho memuji kekuatan skuad besar Tottenham selepas rombakan yang dilakukannya menyaksikan pasukan itu menewaskan LASK 3-0 dalam perlawanan Liga Europa di London awal pagi tadi.

Hanya tiga pemain -- Davinson Sanchez, Ben Davies dan Sergio Reguilon -- mengekalkan tempat mereka daripada perlawanan di mana Spurs terikat 3-3 dengan West Ham hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, ia tidak memperihatkan sebarang kekurangan apabila Tottenham mendahului dengan dua gol awal sebelum menambah satu lagi jaringan pada 10 minit terakhir.

Ketua jurulatih, Mourinho, gembira dengan kemenangan selesa yang diraih pasukannya di London.

"Saya gembira dengan skuad ini," katanya kepada BT Sport.

"Kami percayakan pemain lain kerena mereka juga berusaha keras dan bersedia untuk bermain.

"Kebiasaannya, saya tidak melakukannya dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan di laman sendiri, anda mahu memastikan untuk mendapatkan tiga mata tetapi saya percayakan pemain ini dan jawapan yang diberikan mereka amat baik.

"Bukan persembahan yang megah tetapi kukuh dan selamat," katanya.

Perubahan yang dilakukan Mourinho itu menyaksikan dia dapat memasukkan pemain utama seperti Son Heung-min, Dele Alli dan Giovani Lo Celso dari bangku pemain simpanan dalam separuh masa kedua.

Pengurus berbangsa Portugis itu mengakui dia berdepan kesukaran untuk memilih pemain terbaik dalam keseebelasan utama sambil membandingkan keadaan itu dengan masalah kecederaan pemain yang dialaminya musim lalu.

"Ia amat sukar kerana saya dapat rasakan apa yang mereka rasa. Sudah pasti semua pemain mahu beraksi dan ia pasti mengecewakan mereka.

"Mereka berjuang untuk memperoleh minit permainan tetapi pada akhirnya, bukan semua dapat beraksi, namun ia sesuatu yang baik.

"Musim lalu, saya kerap menghadapi masalah dengan ketiadaan pemain penyerang, bahkan pemain sayap mahupun pemain di bahagian atas bagi sebahagian besar saingan.

"Kini, kami mempunyai skuad yang hebat ini dan dengan UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah) membenarkan kami menyenaraikan semua pemain di bangku simpanan, saya melihat kepada pasukan saya dan saya mempunyai banyak pilihan," katanya lagi.