SWANSEA CITY 0 MANCHESTER UNITED 2

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, memuji pasukannya kerana mempamerkan karakter yang lebih baik selepas meraih kemenangan selesa 2-0 ke atas Swansea City dalam Piala EFL di Stadium Liberty, awal pagi tadi.


Jesse Lingard menjaringkan dua gol, masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua, untuk mengembalikan rentak kemenangan buat penyandang juara itu selepas tewas 2-1 di tangan Huddersfield Town dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Mourinho melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pasukannya kerana kekurangan keinginan dalam perlawanan itu dan ia menyebabkan beliau membuat tujuh pertukaran di Stadium Liberty.

Jurulatih Portugis itu jelas gembira selepas skuad Red Devils memaparkan aksi lebih profesional untuk memastikan tempat mereka di peringkat suku akhir dengan kemenangan itu.

"Sikap mereka sangat bagus, dari saat pertama kami berasakan kami berada dalam perlawanan," kata Mourinho kepada Sky Sports.

"Kami kukuh, kami padat, kami terkawal.

"Saya sangat gembira kerana ia agak selesa dan tiada kecederaan, jadi ia adalah perlawanan yang baik untuk kami."

United akan terus memulihkan prestasi mereka apabila Tottenham berkunjung ke Old Trafford dalam pertembungan getir pada Sabtu ini.

Lingard, yang mengukuhkan kedudukannya dalam kesebelasan utama, berkata kemenangan ke atas Swansea adalah tindak balas yang sempurna terhadap kekalahan pertama dalam aksi kompetitif mereka sejak Piala Super UEFA, Ogos lalu.

"Semenjak hujung minggu lalu, kami bekerja keras di padang latihan," kata pemain antarabangsa England itu.

"Kami belajar daripadanya dan mara ke depan, saya fikir kami berada dalam kawalan."