Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, mempersoalkan kualiti dalam pasukannya selepas sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Valencia, awal pagi tadi.

United melalui empat perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan selepas mengharungi aksi kedua Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Terdapat peningkatan yang dipamerkan berbanding ketika tewas 3-1 kepada West Ham tetapi Valencia dilihat tidak begitu terkesan dengan serangan yang cuba dihasilkan.

Selepas tamat perlawanan, Mourinho memberi amaran kepada penyokong United bahawa mereka tidak boleh menjangkakan lebih banyak kejayaan musim ini dan mendakwa dia tidak boleh berlaku lebih jujur jika terus dikritik akibat cara pengurusan pasukan.

"Saya rasa terdapat banyak perkara yang sukar untuk saya katakan dan jika rasa ia kelakar, saya simpan sendiri. Akan ada sebab lain untuk anda mengkritik saya dan saya rasa anda sudah mencukupi," kata Mourinho.

"Jadi, saya lebih sukar untuk bercakap apabila kami menamatkan siangan liga di tempat kedua dan muncul naib juara Piala FA musim lalu. Ia termasuk apabila memenangi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Saya rasa ia musim yang hebat dan saya tahu sebabnya."

Sebelum itu, Mourino memberitahu bahawa sukar untuk United mengulangi pencapaian musim lalu, iaitu menamatkan saingan liga di tangga kedua tetapi gagal menjulang sebarang trofi.

"Saya memberitahu ketika pra-musim bahawa musim lalu sangat hebat. Untuk berada di tangga kedua, melangkah ke final Piala FA serta juara peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Kemudian, saya tidak menyebutnya lagi."

Keputusan seri yang dicatat sewaktu berdepan Valencia awal pagi tadi dilihat Mourinho sebagai satu keputusan yang adil tetapi mempersoalkan kualiti yang dimiliki pasukannya sambil menegaskan United kekurangan pertahanan yang mampu mencipta serangan.

"Kecewa kerana ia bukan keputusan yang kami inginkan. Terdapat peningkatan dalam persembahan kami. Jika seluruh pasukan tidak beraksi di tahap yang memuaskan, kami akan tewas dan ia sudah tentu meletakkan kami berada dalam situasi yang sukar.

"Dalam kumpulan yang sukar, jika anda tidak menang, anda harus mengelak kekalahan. Kami adalah pasukan yang sentiasa mencuba. Ada banyak peluang untuk kami menang tetapi saya menerima keputusan ini.

"Ia bukan keputusan yang buruk tetapi ia juga bukan sesuatu yang bagus. Kami akan berdepan Newcastle United sebelum aksi liga berhenti seketika untuk saingan antarabangsa dan selepas itu, kami bakal berdepan Chelsea dan Juventus dalam tempoh tiga hari. Jadi, tentu bagus jika kami dapat tundukkan Newcastle."