Mourinho: Luar biasa untuk Alli kembali dapatkan tahap terbaik

Oleh Muzaffar Musa 25 Februari 2021 1761
Mourinho: Luar biasa untuk Alli kembali dapatkan tahap terbaik
Jose Mourinho gembira apabila Dele Alli kembali menyinar dengan jaringan akrobatiknya ketika Tottenham menewaskan Wolfsberger dalam Liga Europa awal pagi tadi.

Dengan membawa kelebihan selesa susulan kemenangan 4-1 di tempat lawan, Spurs sekali lagi mempamerkan aksi dominan untuk merekodkan kemenangan 4-0 dalam aksi timbal balik itu.

Sejak membimbing Real Madrid menewaskan APOEL dalam musim 2011-12, Mourinho tidak pernah menjaringkan lapan gol dalam pusingan kalah mati kejohanan Eropah dan Alli pula menjadi pemain paling menyinar dalam perlawanan awal pagi tadi.

Perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur itu merupakan penampilan kelapan Alli sejak permulaan musim ini -- hanya satu daripadanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika tewas kepada Everton pada awal musim --- tetapi dia memanfaatkan sepenuhnya peluang itu.

Selain menjaringkan gol akrobatik -- gol pertamanya tanpa sepakan penalti musim ini -- pada penghujung gerakan yang dimulakannya, pemain kebangsaan England itu turut menghasilkan dua bantuan jaringan.

Ia merupakan kali pertama Alli menghasilkan gol dan bantuan jaringan dalam satu perlawanan peringkat Eropah dan kali pertama dalam perlawanan Tottenham Hotspur sejak Disember 2018.

 Sumbangannya itu, termasuk melakukan dua percubaan, tiga hantaran penting dan 66 sentuhan, memperlihatkan Alli telah menemui rentak terbaiknya di bawah kendalian Mourinho.

Sejak mencuri tumpuan ketika pengurus berbangsa Portugis itu dilantik pada 2019, Alli telah mengalami kemerosotan prestasi sehingga dikaitkan untuk dipinjamkan dalam jendela perpindahan bulan lalu.

Tetapi Mourinho berkata kepada BT Sport: "Dia melalui waktu yang sukar. Dia mengalami kecederaan dan pada masa sama, terdapat banyak cakap-cakap mengenai dia dikekalkan, pergi, kekal, pergi.

"Jendela perpindahan sudah ditutup, kecederaannya sudah pulih, dia mula bermain dengan penuh motivasi dan ia menjelma. Itulah yang kami perlukan."
 
Dalam sidang media selepas perlawanan, Mourinho menambah: "Saya tidak perlu bercakap mengenai jaringan golnya itu kerana semua orang dapat melihatnya dan saya percaya seluruh dunia, melalui siaran saluran TV sukan, semua orang akan melihatnya.

"Saya tidak perlu bercakap mengenainya. Bagi saya, globaliti mengenai prestasinya lebih penting. Dia bermain dengan amat baik. Daripada setiap aspek, dia bermain dengan amat baik.

"Sudah pasti dia tidak cukup rehat, sudah pasti kita dapat rasa prestasinya, sama seperti perlawanan pertama, bermula minit ke-55, 60 ia akan menurun -- di mana ia sesuatu yang normal berdasarkan keadaan, kecederaan, lama tidak beraksi dan baru mula bermain sejak beberapa minggu lalu.

"Tetapi buat masa ini di mana kami akan bermain setiap tiga hari, 10 perlawanan sepanjang Mac, untuk Dele kembali ke tahap ini merupakan sesuatu yang luar biasa," katanya lagi.

 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen