Mourinho: Lindelof bakal berehat 'agak lama' 

Oleh Penulis Jemputan 27 November 2018 324
Mourinho: Lindelof bakal berehat 'agak lama' 
Pemain pertahanan, Victor Lindelof, memerlukan imbasan kesihatan dan dijangka terpinggir untuk tempoh yang "agak lama", kata pengurus Manchester United, Jose Mourinho.

Lindelof mengalami kecederaan otot di bahagian pinggul semasa tugasan antarabangsa dengan Sweden tetapi tetap bermain dalam kesakitan ketika seri tanpa jaringan dengan Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu. 

Pertahanan tengah itu, yang menjadi tonggak utama United musim ini, telah tampil dalam 11 perlawanan EPL dan tiga aksi Liga Juara-Juara (UCL). 

Begitupun, pengurus Portugis itu perlu mencari jalan alternatif mengenai situasi pemain berusia 24 tahun itu memandangkan dia bakal terlepas aksi UCL ketika menyambut kehadiran Young Boys, awal pagi esok, dan mungkin tidak tersedia untuk beraksi selama beberapa minggu lagi.

"Dia akan terpinggir buat seketika," kata Mourinho dalam sidang akhbar semalam. 

"Ia disebabkan kecederaan -- kecederaan yang tulen -- yang akan menghalangnya untuk beraksi buat seketika.

"Jika kami dapat memilikinya semula pada Krismas nanti kerana ia tempoh getir buat kami, sudah pasti ia menarik."

United sudah pun kehilangan pemain antarabangsa Argentina, Marcos Rojo, untuk menghadapi Young Boys.

"Kami masih ada (Eric) Bailly dan (Phil) Jones," kata Mourinho.

"Marcos Rojo dilanda kecederaan ringan dan begitu juga Victor.

"Oleh itu, Jones, Smalling dan Bailly merupakan tiga pilihan yang kami ada."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen