Mourinho lebih daripada sedih selepas Tottenham diaibkan Dinamo

Oleh Muzaffar Musa 19 Mac 2021 2273
Mourinho lebih daripada sedih selepas Tottenham diaibkan Dinamo
Jose Mourinho mengkritik sikap pemain Tottenham selepas mereka disingkirkan daripada Liga Europa (UEL) susulan kekalahan memalukan kepada Dinamo Zagreb awal pagi tadi.

Spurs bertandang ke Croatia dengan kelebihan dua gol hasil jaringan berganda Harry Kane dalam perlawanan pertama minggu lalu tetapi hatrik Mislav Orsic memastikan pasukan tuan rumah itu menang 3-0 dan layak ke suku akhir dengan agregat 3-2.

Keputusan itu bermakna Spurs menjadi pasukan Inggeris pertama melepaskan kelebihan dua gol untuk disingkirkan dalam perlawanan kedua pusingan kalah mati peringkat Eropah sejak Manchester City berdepan nasib sama ketika disingkirkan Monaco dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2016-17.

Ia merupakan kali ketiga Mourinho tewas dengan perbezaan tiga gol di peringkat Eropah dengan dua daripadanya ketika bersama Spurs (kepada RB Leipzisg pada Mac 2020) dan satu daripadanya ketika bersama Real Madrid (kepada Borussia Dortmund pada April 2013).

Mourinho berkata aksi tidak masuk akal pasukannya telah membuatkannya "lebih daripada sedih" dan seakan-akan mengkritik pemainnya kerana terlalu selesa.

"Jika saya terlupa, pada minit terakhir masa tambahan di mana kami melakukan sesuatu untuk mengubah keputusan perlawanan ini dan layak, dalam 90 minit dan separuh pertama masa tambahan, hanya ada satu pasukan yang memilih untuk memberikan segala-galanya di atas padang," katanya kepada BT Sport.
 
"Mereka (Dinamo) berpeluh-peluh, bertenaga, berdarah. Pada akhirnya, mereka juga menangis kegembiraan. Amat merendah diri dan komited. Saya perlu memuji mereka.

"Sebaliknya, pasukan saya. Saya ulang, pasukan saya. Mereka tidak nampak seperti sedang beraksi dalam perlawanan penting. Jika bagi sesiapa daripada mereka ia tidak penting, bagi saya ia penting.

"Bagi menghormati karier dan pekerjaan saya, setiap perlawanan adalah penting. Bagi penyokong Tottenham di rumah, setiap perlawanan penting. Kami perlukan sikap berbeza.

"Untuk berkata saya berasa sedih masih belum cukup. Apa yang saya rasa lebih buruk daripada sedih. Saya baru sahaja meninggalkan bilik persalinan Dinamo untuk memuji mereka dan saya berasa sedih kerana bukan pasukan saya yang memenangi perlawanan ini berdasarkan sikap dan kompromi. Saya berasa lebih daripada sedih. Itulah dia.

"Bola sepak bukan hanya mengenai pemain yang memikirkan mereka memiliki lebih kualiti berbanding yang lain. Asas kepada bola sepak adalah sikap. Mereka menewaskan kami berdasarkan perkara itu hari ini.

"Saya memberitahu pemain mengenai risiko yang akan dihadapi mereka. Ia berlaku kerana saya percaya pemain saya hanya menyedari mereka sedang berisiko sebalik lawan menjaringkan gol kedua," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen