VALENCIA 2 MANCHESTER UNITED 1

Jose Mourinho kecewa dengan gol sendiri Phil Jones dan keamatan rendah anak buahnya ketika Manchester United mengakhiri peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) dengan kekalahan 1-2 kepada Valencia.


Jones tertampan bola ke gawang sendiri yang melepasi Sergio Romero pada awal babak kedua selepas Carlos Soler terlebih dahulu meletakkan pasukannya di depan dalam aksi di Mestalla, awal pagi tadi.

Pemain gantian, Marcus Rashford, mengurangkan defisit jaringan di penghujung permainan, namun gol itu mencerminkan persembahan buruk daripada Red Devils, yang berpeluang menerajui Kumpulan H dengan kemenangan susulan kekalahan Juventus kepada Young Boys.

Mourinho, yang membuat lapan perubahan dalam barisan permulaannya berbanding ketika membenam Fulham 4-1, Ahad lalu, berasakan pemainnya terlalu "pasif", khususnya dalam separuh masa pertama.

"Kami menjaringkan dua gol dan bukannya menang 2-1, kami kalah 1-2!" beliau memberitahu BT Sport.

"Selain daripada kelucuan tersebut, kami terlalu pasif dalam babak pertama. Kami selesa mengawal rentak permainan tetapi tidak dengan keamatan atau bercita-cita besar.

"Dalam babak kedua, saya yakin selepas bercakap dalam bilik persalinan, perkara akan berubah. Saya membuat dua pertukaran (Rashford dan Jesse Lingard) yang menyaksikan pasukan saya mempamerkan peningkatan segera,

"Kami mula bermain lebih pantas, berada di kedudukan berbahaya, kami menjadikan kedudukan kepada 1-2 dan mungkin boleh meraih keputusan 2-2 memandangkan kami mencipta lebih banyak peluang untuk menyamakan kedudukan," ujarnya.

Mourinho sepatutnya memberi perhatian kepada pertemuan dengan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad ini, namun dia menegaskan bahawa kunjungan ke Anfield tidak bermain dalam fikirannya.

"Ini bukan mengenai Liverpool, ini mengenai UCL. Saya tidak tahu bagaimana anda boleh mengaitkan perlawanan dengan Liverpool dalam soalan ini," katanya.

"Kami turun dalam setiap perlawanan dengan hasrat untuk menang, kadang-kadang kami menang, kadang-kadang tidak. Tetapi hasrat itu sentiasa ada."

Mourinho gembira dapat melangkah ke pusingan seterusnya memandangkan United diulit masalah kecederaan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, terutama di bahagian pertahanan, meskipun mengakui persembahan mereka dalam enam perlawanan terakhir tidak sepenuhnya positif.

"Misi kami sudah tercapai, ini kumpulan yang sukar. Saya tidak fikir kami cemerlang dalam fasa kumpulan, namun kami meraih mata yang mencukupi untuk layak," katanya.

"Dengan masalah yang kami hadapi, kecederaan yang kami ada, kami berjaya bertandang ke sini ketika sudah pun layak."

Juan Mata, yang terlepas peluang untuk penyamaan kedudukan di lewat permainan ketika menentang bekas kelabnya itu, gembira melihat beberapa pemain dalam skuad itu mendapat peluang untuk beraksi dan sudah bersedia untuk mengharungi pusingan 16.

"Kami cuba meneroka kualiti kami dan cuba bermain sebagai sebuah pasukan. Beberapa pemain yang jarang beraksi mendapat peluang dan saya fikir ia adalah hari yang sangat baik untuk beberapa pemain," katanya.

"Kami cuba mengekalkan penguasaan bola. Adakalanya kami dapat melakukannya tetapi mungkin ia tidak mencukupi dan kami mengakui terlepas beberapa peluang. Ia sukar, mereka bermain di hadapan penyokong yang luar biasa.

"Saya fikir tindak balas kami mungkin sudah terlambat. Kami mempunyai beberapa peluang di penghujung permainan untuk sekurang-kurangnya menjaringkan gol tetapi secara keseluruhannya, kami kecewa kerana kami tahu Juventus telah kalah.

"Daripada sudut pandangan peribadi, saya sangat gembira untuk tiba di sini dan berasakan kecintaan kelab dan penyokong.

"Kami perlu tunggu dan lihat siapakah yang bakal kami hadapi. Seperti yang saya katakan hari ini, kami perlu percaya bahawa kami boleh mengalahkan sesiapa sahaja, kami adalah Manchester United. Tidak kira sama ada kami bermain baik atau tidak, kami perlu terus memiliki kepercayaan itu demi menghormati kelab ini, sejarah kelab ini."