Jose Mourinho berpendapat akan menjadi "luar biasa" jika Tottenham beraksi dalam final Liga Europa (UEL) bertemu sebuah lagi pasukan daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Memberikan pandangan mengenai keputusan undian pusingan 16 semalam, yang menyaksikan Spurs bertemu Dinamo Zagreb, Mourinho menerima bahawa terdapat beberapa perkara positif yang boleh diambil kira.

Arsenal dan Manchester United turut diundi dengan masing-masing bertemu Olympiacos dan Milan, memiliki peluang realistik menyaksikan tiga pasukan Inggeris bakal mara ke suku akhir.

Walaupun enggan terbawa-bawa, Mourinho sempat berbincang mengenai peluang bertemu pasukan EPL dalam kejohanan tersebut selepas Spurs mengatasi Wolfsberger 8-1 secara agregat bagi menempah slot bertemu Dinamo.

"Beraksi dalam pertandingan ini dan sampai ke tahap ini, anda tidak akan dapat bertemu lawan mudah," kata Mourinho.

"Sekiranya anda ingin memenanginya, cepat atau lambat anda harus bermain dengan kelab terbaik atau kelab yang melalui peringkat yang berbeza. Jadi, objektifnya sekarang adalah untuk menang ke atas Dinamo.

"Kemudian jika nanti Arsenal dan Manchester United kekal dalam saingan ini, kami harus menghadapi mereka.

"Ia berlaku dalam final Liga Juara-Juara (UCL), dua kelab Inggeris, berlaku dalam Liga Europa (UEL), Arsenal bertemu Chelsea.

"Ini sesuatu yang boleh berlaku dan jika ia berlaku, indah bagi kami jika kami adalah salah satu daripada dua pasukan. Dan lebih indah bagi bola sepak Inggeris untuk mempunyai dua pasukan dalam aksi final.

"Tetapi pada masa ini, 16 pasukan, semua orang menginginkan perkara yang sama dan masih awal untuk memikirkannya."


Ketika Dinamo Zagreb mendahului Liga Croatia, kemungkinan lawan lain untuk Spurs termasuk Milan, Roma, Ajax dan Villarreal.

Mourinho, yang menang Liga Europa dua kali bersama Porto dan United, berkata: "Stadium bagus, saya percaya kami akan bermain di sana.

"Lawan yang tidak begitu sukar, tidak begitu jauh, jadi saya berasakan perkara yang positif, tetapi paling penting kami mara ke suku akhir.

"Dinamo, mereka mengatasi Krasnodar dua kali. Krasnodar adalah pasukan Russia dan sukar untuk berdepan mereka."