Hansi Flick hanya berpeluang untuk memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik Lelaki Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya Bayern Munich dapat menemui kejohanan baru untuk dimenangi, kata pengurus Tottenham, Jose Mourinho.

Musim lalu, Flick membimbing Bayern memenangi kejuaraan 'treble' dalam Bundesliga, DFB-Pokal dan Liga Juara Eropah (UCL) selain turut menjulang trofi Piala Super UEFA dan Piala Super DFL sepanjang 2020.

Jadi, ia menimbulkan persoalan apabila Flick tidak terpilih untuk dinamakan sebagai jurulatih terbaik lelaki dalam Majlis Anugerah FIFA malam semalam -- di mana pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, dipilih sebagai pemenang.

Mourinho, yang pasukannya tewas 1-2 kepada Liverpool Rabu lalu, ditanya ketika sidang media sebelum perlawanan menentang Leicester City malam esok, mengenai keputusan itu.

"Saya fikir satu-satunya cara untuk Flick menang adalah Bayern menemui dua atau tiga kejohanan baru dan memenanginya," kata Mourinho sambil ketawa.

"Jadi, mungkin jika dia memenangi tujuh gelaran setahun, mungkin dia akan memenangi anugerah itu. Kerana saya percaya dia hanya memenangi UCL, Bundesliga, Pokal, Piala Super UEFA dan Piala Super Jerman -- dia hanya memenangi lima dan yang terbesar berbanding yang lain.

"Jadi, saya fikir Flick yang malang hanya berpeluang jika Bayern dapat mencari dua atau tiga trofi lagi untuk melihat jika dia boleh menang," katanya.