Jose Mourinho mengapi-apikan penyokong Juventus dengan menekup kedua-dua telinganya pada penghujung perlawanan Liga Juara-Juara yang dimenangi Manchester United 2-1 kerana mendakwa mereka menghinanya selama 90 minit.

United gagal menyaingi skuad bimbingan Massimiliano Allegri itu di Old Trafford, dua minggu lalu, tetapi mempamerkan aksi lebih baik di Turin, awal pagi tadi.

Juventus secara keseluruhannya menguasai permainan dan selayaknya mendahului hasil voli gemilang Cristiano Ronaldo terhadap bekas pasukannya itu pada minit ke-65 tetapi pemain gantian, Juan Mata, mengikat kedudukan menerusi sepakan percuma sejurus selepas kemasukannya dan gol sendiri Alex Sandro memberi United kemenangan yang tidak dijangkakan.

Mourinho memasuki padang sejurus perlawanan berakhir dan menyakat penyokong Juventus yang mengundang reaksi beberapa pemain di sebalik pengurus Portugis itu bertegas bahawa dia menghormati kelab lawan itu.

“Mereka (penyokong Juventus) menghina saya selama 90 minit,” katanya kepada BT Sport. "Saya tidak menghina mereka, ia hanyalah perkara kecil.

“Saya menghormati Juventus, saya menghormati pemain-pemain, pengurus mereka, semuanya, kualiti yang mereka miliki dan saya benar-benar bangga dengan pemain-pemain saya.”

Mourinho turut mendakwa penyokong Juventus menghina kedua-dua keluarganya dan Inter, kelab yang dibimbingnya selama dua tahun sehingga 2010.

“Saya hanya membuat isyarat yang saya mahu dengar mereka dengan lebih kuat lagi,” Mourinho memberitahu Sky Sport Italia.

"Saya mungkin tidak patut melakukannya dan dengan sedikit ketenangan, saya harus tidak melakukannya.

“Tapi dengan keluarga saya dihina, termasuk keluarga Inter saya, saya bertindak balas seperti ini,” tambah Mourinho yang tidak pun memohon maaf.