Jose Mourinho mempersoalkan semangat barisan pertahanan Tottenham Hotspur tetapi mengakui barisan depan mereka dalam bahaya selepas tewas 1-0 di tangan RB Leipzig dalam aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Awal pagi tadi, kekalahan 1-0 menyaksikan naib juara musim lalu, Spurs, berdepan cabaran getir menjelang aksi timbal balik di Jerman, 10 Mac depan.

Sepakan penalti Timo Werner membolehkan Leipzig mengungguli pertemuan di Stadium Tottenham Hotspur tatkala tuan rumah bergelut untuk menembusi benteng lawan sehingga wisel penamat.

Kehilangan Harry Kane dan Son Heung-min akibat kecederaan membuatkan barisan depan Spurs tumpul dan ia terserlah ketika menentang Leipzig.

Malah, Mourinho mendedahkan Erik Lamela terpaksa dibawa masuk dari bangku simpanan walaupun tidak dapat mneyertai sesi latihan sebelum ini akibat kecederaan.

Apabila ditanya mengenai tentang pasukannya, Mourinho berkata: "Apa maksud anda? Spurs yang sebenar?

"Perlu hormati pemain dan maklumkan apa yang mereka perlu buat."

Sambil mengakui isu kecederaan membuatkan pasukannya lebih lemah dalam perlawanan besar dan walaupun percaya Spurs mampu bangkit dalam aksi kedua, pengurus dari Portugal itu risau memikirkan jumlah pemain yang ada ketika ini.

"Saya berterima kasih kerana sokongan yang diberikan. Apa yang saya risau bukan keputusan kerana 1-0 adalah sesuatu yang terbuka. Terdapat kemungkinan kami akan ke sana dan menang," katanya.

"Apa yang merisaukan saya, sampai bila saya akan memiliki barisan pemain yang sama.

"Dalam tempoh dua hari, kami akan beraksi sekali lagi menentang Chelsea di tempat lawan. Anda boleh lihat Lucas Moura, Steven Bergwijn dan Giovani Lo Celso tampak mati."