Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, bengang dengan England selepas mendedahkan pertahanan, Phil Jones, terpaksa mengambil enam suntikan untuk beraksi berdepan Jerman.

Jones terpaksa meninggalkan padang selepas 25 minit ketika seri 0-0 di Wembley pada 10 November lalu gara-gara mengalami kecederaan paha.

Mourinho tidak berpuas hati dengan cara England mengendalikan pemain berusia 25 tahun itu, yang bakal terlepas aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Newcastle United, malam ini.

"Saya bukan malaikat dan saya terpaksa menyuntik pemain untuk beraksi dalam perlawanan yang rasmi dan penting," katanya.

"Tetapi untuk aksi persahabatan, untuk diberikan enam suntikan penahan sakit, saya tidak pernah mendengar perkara ini.

"Jones diberikan suntikan itu, dia hanya dapat beraksi selama 15 minit sebelum tidak mampu beraksi sehingga hari ini," ujarnya.

Jones tampil dalam 11 perlawanan liga untuk United musim ini, dengan membantu mereka berada di tangga kedua dengan rekod pertahanan terbaik selepas hanya bolos lima gol.

Mourinho terkejut dengan pendekatan England ssambil menyifatkan beliau tidak akan melakukan perkara yang sama jika ia merupakan perlawanan persahabatan.

"Dalam tempoh 17 tahun saya mengendalikan pasukan, saya tidak melakukan kepada mana-mana pemain untuk disuntik dengan ubat penahan sakit bagi menghadapi perlawanan persahabatan," ujarnya lagi.