Moukoko jauh lebih baik daripada Haaland

Oleh Muzaffar Musa 12 Ogos 2020 3306
Moukoko jauh lebih baik daripada Haaland
Erling Haaland mencuri tumpuan sebagai pemain muda sensasi tetapi dia kini berdepan amaran bahawa akan wujud seorang lagi bakat muda yang akan menggegarkan Bundesliga bersama Borussia Dortmund.

Penyerang berbangsa Norway, Haaland, genap berusia 20 tahun bulan lalu dan sudah menempa nama sebagai antara penyerang terbaik dalam bola sepak Jerman.

Dengan menjaringkan 13 gol daripada 15 perlawanan sejak menyertai Dortmund daripada Salzburg pertengahan musim lalu, dia mengumpulkan 44 gol daripada 40 penampilan sepanjang mewakili dua kelab itu musim ini.

Ia bermakna, Haaland akan menjadi penggempur utama Dortmund bagi saingan musim depan tetapi seorang lagi pemain muda, Youssoufa Moukoko, turut mempunyai peluang untuk memainkan peranannya.

Moukoko hanya berusia 15 tahun dan mencipta sensasi dalam saingan remaja selain turut menyertai sesi latihan skuad utama Dortmund.

Dia menyertai kem latihan Dortmund di Bad Ragaz, Switzerland minggu ini dan layak untuk mewakili pasukan utama itu selepas genap berusia 16 tahun pada 20 November depan.

Mengulas mengenai pemain itu, Haaland berkata: "Dia jauh lebih baik daripada saya ketika berusia 15 tahun. Dia berlatih bersama Borussia Dortmund dan tidak ketinggalan.

"Saya pula hanya bersama kelab di kampung halaman saya, Bryne FK, ketika berusia 15 tahun. Anda boleh membandingkannya sendiri."
 
Moukoko, yang merupakan pemain kelahiran Cameroon, mewakili Jerman dalam saingan B-16 dan turut memperkuatkan Dortmund dalam saingan Bundesliga B-19 dan Liga Remaja UEFA.

Haaland memberikan kenyataan kepada akhbar Westfalische Rundschau bahawa dia gembira untuk menerima tekanan daripada pemain remaja itu.

"Tetapi amat sukar apabila dia sehebat itu. Saya tidak fikir saya kelihatan sebaik itu ketika berusia 15 tahun," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen