Moukoko jadi pemain termuda Bundesliga

Oleh Muzaffar Musa 22 November 2020 918
Moukoko jadi pemain termuda Bundesliga
Youssoufa Moukoko menjadi pemain termuda Bundesliga selepas melakukan penampilan pertamanya bersama Borussia Dortmund dalam perlawanan menentang Hertha Berlin awal pagi tadi.

Moukoko, yang genap berusia 16 tahun kelmarin, melakukan penampilan peringkat senior pertamanya bersama Dortmund selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua ketika Dortmund menewaskan Berlin 5-2 -- pemenang Anugerah Golden Boy, Erling Haaland, menjaringkan empat gol disamping satu daripada Raphael Guerreiro.

Pemain muda itu menjadi prospek utama daripada akademi Dortmund selepas mencipta rekod jaringan besar dalam kejohanan peringkat umur.

Dia menjaringkan 34 gol daripada 20 perlawanan dalam divisyen remaja Bundesliga musim lalu dan turut menjadi penjaring gol termuda dalam Liga Remaja UEFA sewaktu melakukannya ketika berusia 14 tahun pada Oktober 2019.

Sebelum ini, syarat pelesenan Bundesliga menyukarkan pemain di bawah usia 17 tahun beraksi dalam liga divisyen utama Jerman itu memandang umur minimum untuk dibenarkan beraksi adalah 16 tahun dan enam bulan.

Bagaimanapun, peraturan itu telah diubah April lalu, membenarkan pemain diturunkan beraksi mewakili skuad utama selepas genap ulang tahun kelahiran ke-16, dan Moukoko merupakan pemain pertama memanfaatkan keadaan itu.

Pada usia 16 tahun dan sehari, dia memecah rekod baru dengan mengatasi bekas pemain Dortmund, Nuri Sahin (16 tahun, 11 bulan dan sehari) selain Yann Bisseck (16 tahun 11 bulan dan 28) dan hanya tiga pemain itu pernah diturunkan dalam Bundesliga di bawah usia 17 tahun.

Moukoko juga berpeluang menjadi penjaring gol termuda liga itu memandangkan dia masih mempunyai tempoh 13 bulan untuk mengatasi rekod pemain Bayer Levekusen, Florian Wirtz (17 tahun, sebulan dan tiga hari) pada Jun lalu.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen