Alex Morgan sedang memikirkan untuk mencuba sesuatu yang baru.

Penyerang skuad bola sepak wanita Amerika Syarikat (AS) itu merancang untuk menubuhkan syarikat media sendiri yang tertumpu kepada sukan wanita selepas membantu negaranya mempertahankan kejuaraan Piala Dunia Wanita bulan ini.

Dia mahu membantu sukan wanita mendapat lebih banyak liputan.

"Sukan lelaki sentiasa menjadi tumpuan," katanya kepada Bloomberg.

"Kami akan menumpukan kepada wanita dalam bidang sukan dan berkongsi cerita yang saya fikir ramai orang mahu mendengarinya dan wanita perlu diberikan akses itu," katanya.

Usaha terbaru Morgan itu masih belum memiliki nama, namun dia mahu ia membantu dalam memperjuangkan hak kesamarataan wanita.

"Kami dapat melihat bahawa kami dapat menggunakan platform ini untuk menyuarakan isu-isu penting.

"Kami berpegang teguh terhadap diri kami dan nilai kami dan akan menjadi lebih berani dan yakin dengan diri kami," tambahnya.

Morgan dan rakan sepasukannya sedang dalam proses untuk menyaman Persatuan Bolasepak A.S (U.S. Soccer) di atas dakwaan diskriminasi.

Mereka hanya menerima sebahagian kecil berbanding wang kemenangan kategori lelaki walaupun meraih pingat emas Piala Dunia Wanita buat kali keempat.

Skuad wanita AS hanya menerima pembahagian daripada US$4 juta (RM16.4 juta) wang kemenangan selepas memenangi kejohanan itu berbanding US$38 juta (RM156.1 juta) yang diterima juara kategori lelaki tahun lalu.