Moreno: Cazorla pamer aksi "luar biasa" 

Oleh Penulis Jemputan 16 November 2019 205
Moreno: Cazorla pamer aksi
SEPANYOL 7 MALTA 0

Jurulatih Sepanyol, Robert Moreno, memuji aksi "luar biasa" Santi Cazorla selepas pemain tengah berpengalaman itu menjaringkan gol pertamanya di pentas antarabangsa sejak empat tahun lalu.


Perancang Villarreal, Cazorla, telah berusaha untuk kembali ke dalam skuad kebangsaan selepas pulih daripada kecederaan serius sebelum ini serta menemui sasaran ketika membenam Malta 7-0 dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Cadiz awal pagi tadi.

Ia merupakan perlawanan untuk barisan pemain berpengalaman membuktikan kemampuan mereka apabila Jesus Navas, Raul Albiol serta Sergio Ramos menampilkan aksi cemerlang, ditambah pula dengan gol sulung daripada pemain muda, Dani Olmo dan Pau Torres.

"Apa yang dicapai oleh Cazorla, prestasinya, selepas mengharungi tiga tahun dengan kecederaan yang hampir meragut kariernya, adalah sesuatu yang luar biasa," kata jurulatih itu.

"Tanpa pemain sepertinya, Albiol dan Ramos sukar untuk meraih kemenangan dalam aksi separuh akhir dan akhir bagi mana-mana kejohanan. Mereka merupakan generasi yang sudah memenangi gelaran. 

"Mereka antara pemain yang berkualiti dan berpengalaman untuk membantu pasukan menjuarai gelaran."

Jaringan Cazorla hadir selepas Alvaro Morata membuka tirai jaringan sebelum gol bertali arus hadir dalam separuh masa kedua -- dalam tempoh tujuh minit, Torres, Olmo, dan Pablo Sarabia menjadikan kedudukan 5-0 sebelum Gerard Moreno dan Navas melengkapkan kemenangan Sepanyol pada penghujung permainan.

Moreno memuji kemampuan pasukannya untuk menyerap tekanan sepanjang permainan.

"Kami telah berusaha dalam separuh masa pertama untuk menghasilkan jaringan pembukaan dengan memperkemaskan sentuhan penyudah. Kami tidak menjangkakan perlawanan mudah dan kejayaan menyumbat banyak gol memberikan motivasi kepada pasukan.

"Perkara paling penting di dunia buat pemain-pemain saya adalah mendapatkan tiga atau empat jaringan kemudian mengurangkan intensiti permainan, tetapi kami berjaya menjaringkan tujuh gol dan sememangnya mampu mendapatkan 10 gol dalam perlawanan ini.

"Ia merupakan sesuatu yang positif kerana kami dapat membentuk semula momentum dalam kalangan pemain.

"Kami turut gembira apabila kedua-dua pemain gantian, Torres dan Olmo, menjaringkan gol menerusi sentuhan pertama mereka."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen