Sekiranya bintang Barcelona, Lionel Messi, menyertai Inter Milan, ia bukanlah impian yang mustahil, kata bekas presiden kelab itu, Massimo Moratti.

Messi masih memiliki kontrak bersama Barca sehingga 2021 tetapi masa depan pemenang enam kali anugerah Ballon D'or itu di Camp Nou masih belum pasti berikutan pertelingkahannya dengan ahli lembaga pengarah kelab itu musim ini.

Kapten Barca itu pernah dikaitkan dengan pasukan Serie A, Inter, dan Moratti berasakan usaha membawa Messi ke Milan bukanlah sesuatu yang mustahil.

"Saya tidak fikir ia satu impian yang mustahil. Mungkin ia juga tidak mustahil sebelum perkara ini," katanya kepada Radio Rai.

"Messi berada di penghujung kontraknya dan mungkin terdapat percubaan untuk membawanya ke sini.

"Saya tidak pasti situasi itu akan mengubah apa-apa tetapi saya fikir kita akan melihat sesuatu yang aneh pada hujung tahun ini," katanya.

Bintang Inter, Lautaro Martinez, dikaitkan untuk berpindah ke Barca pada penghujung musim ini -- bintang Argentina itu dilihat sebagai pengganti masa panjang buat pemain veteran, Luis Suarez.

Moratti, yang merupakan presiden Inter dari 1995 hingga 2013, berasakan Martinez juga boleh digunakan sebagai pertukaran untuk mendapatkan rakan senegaranya itu.

"Dia (Martinez) merupakan pemain muda yang amat bagus, dia amat menjaga kariernya.

"Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, kita perlu melihat sama ada ia akan menjadi sebahagian daripada operasi untuk mendapatkan pemain lebih besar seperti Messi," katanya lagi.