ATLETICO MADRID 2 OSASUNA 0

Diego Simeone percaya terdapat hanya beberapa penyerang yang mampu bertindak seperti Alvaro Morata.

Penggempur Atletico Madrid itu memecah kebuntuan perlawanan dalam kemenangan 2-0 ke atas Osasuna, awal pagi tadi -- kemenangan pertama Atleti dalam empat perlawanan LaLiga yang melonjakkan mereka ke tangga keempat.

Bekas tonggak Chelsea, Real Madrid dan Juventus itu, yang turun dalam tujuh perlawanan berturut-turut buat kelab dan negaranya, Sepanyol, sejak dua bulan lalu, akhirnya memadamkan penantian golnya dalam enam perlawanan apabila menyempurnakan sepakan percuma Kieran Trippier untuk mengatasi penjaga gol Osasuna, Sergio Herrera, dan 12 minit selepas itu, Saul Niguez memuktamadkan kemenangan mereka.

Simeone, yang dikaitkan akan menggunakan jendela perpindahan bulan depan dengan cuba membawa masuk Timo Werner, Edinson Cavani atau Olivier Giroud, menawarkan sokongan terhadap pemain berjersi nombor 9 itu.

"Semoga sentuhannya akan kembali seperti sebelum rehat antarabangsa," katanya dalam sidang berita selepas perlawanan.

"Dia mencetak gol dalam hampir setiap perlawanan.

"Tidak ramai pemain sepertinya dalam bola sepak dan kami mahu memanfaatkannya."

Manuel Sanchez, yang membuat kemunculan pertamanya dengan membarisi pertahanan Atletico untuk mengisi tempat yang ditinggalkan Juanfran, mengundang kekaguman Simeone terhadap persembahan pemain berusia 19 tahun berkenaan.

"Saya menggemarinya," katanya.

"Ia bukan mudah. Dia masih muda, berkembang dan kerap menyertai latihan kami.

"Dia perlu terus berkembang dan ini merupakan detik penting dalam kerjayanya.

"Hari ini, Juanfran mengucapkan selamat tinggal dan satu lagi kemunculan pertama terhasil. Seorang pemain baru sahaja dilahirkan."