Montella: Milan dominasi permainan di San Siro

Oleh Penulis Jemputan 27 November 2017 236
Montella: Milan dominasi permainan di San Siro
AC MILAN 0 TORINO 0

Ketua jurulatih AC Milan, Vincenzo Montella, percaya pasukannya mendominasi permainan ketika seri 0-0 dengan Torino di San Siro dan tidak bernasib baik untuk mencipta kemenangan.


Keputusan itu menyaksikan The Rossoneri gagal mencari kemenangan dalam empat perlawanan di laman sendiri dan gagal menjaringkan sebarang gol, sekaligus meletakkan mereka ketinggalan 18 mata kepada pendahulu Serie A, Napoli.

Kedudukan Montella kini dalam pemerhatian tetapi pengendali berusia 43 tahun itu yakin skuad bimbingannya sudah boleh mencari kemenangan jika meneruskan persembahan yang sama seperti yang dilakukan ketika bertemu Torino.

"Menganalisis perlawanan ini, Milan mengawal dari awal hingga penghujung permainan," kata Montella.

"Kami telah mencipta enam atau tujuh peluang untuk menjaringkan gol, cuma sentuhan terakhir yang gagal disempurnakan.

"Segala-galanya hampir sempurna buat kami, cuma jaringan gol yang tidak berjaya dihasilkan," tambahnya.

Andre Silva terlepas peluang untuk membuka jaringan dalam separuh masa pertama dan Montella mencadangkan penyerang Portugal itu adalah salah seorang pemain yang masih bergelut membiasakan diri dengan permainan di Itali.

"Kami mempunyai penyerang yang berkualiti dan masih muda.

"Pasukan ini masih lagi berkembang, terdapat beberapa pemain yang masih membiasakan diri dengan keadaan di San Siro.

"Andre Silva seorang pemain yang berkualiti. Dia masih berusia 22 tahun, kami perlu memberikan masa kepadanya," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen