Sevilla memilih Vincenzo Montella untuk menggantikan Eduardo Berizzo sebagai ketua jurulatih dalam perjanjian selama satu setengah tahun selepas kedua-dua pihak mencapai "perjanjian asas" dengan pengurus dari Itali itu.

Montella tanpa jawatan lebih daripada sebulan sejak dia dipecat oleh AC Milan pada hujung November lalu, susulan permulaan hambar gergasi Serie A itu sekalipun telah membelanjakan €196 juta (RM950.4j).

Bekas pemain antarabangsa Itali itu meninggalkan Milan di tangga ketujuh dalam Serie A dan kedudukan mereka semakin merosot apabila kini menduduki tangga ke-11 sejak Gennaro Gattuso mengambil alih.

Sungguhpun Sevilla tidak memenangi empat perlawanan terakhir mereka, Montella menyertai mereka dalam kedudukan yang kukuh berikutan kedudukan kelab itu di tangga kelima LaLiga dan telah menempah laluan ke fasa kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Manchester United.

Pemecatan Berizzo -- baru kembali daripada pembedahan kanser prostat --- didorong oleh persembahan buruk selain keputusan yang tidak memuaskan sementara hubungannya dengan pemain utama dilaporkan tegang.

Secara teknikalnya, Montella masih dalam tempoh cuti kerana masih mempunyai kontrak dengan Milan, namun ia akan diselesaikan untuk memberi peluang kepada pengurus berusia 43 tahun itu menandatangani kontraknya bersama Sevilla hari ini sebelum mengendalikan operasi skuad utama, sehari kemudian.

Langkah itu akan menyaksikan Montella kembali bekerjasama dengan penyerang, Luis Muriel -- pemain termahal Sevilla sejak musim panas lalu -- setelah beraksi di Sampdoria.

Perlawanan sulung membabitkan Montella adalah aksi Copa del Rey di Cadiz pada 3 Januari ini, sebelum berkujung ke seteru setempat, Real Betis, tiga hari kemudian dalam aksi LaLiga.