NAPOLI 2 AC MILAN 1

Vincenzo Montella mendakwa AC Milan sudah melepasi bahagian paling sukar pada musim ini selepas pasukannya tewas 2-1 kepada pendahulu Serie A, Napoli, di Stadio San Paolo, awal pagi tadi.


Milan mengalami kekalahan keenam dalam Serie A apabila Lorenzo Insigne dan Piotr Zielinski menjaringkan gol buat Napoli sebelum Alessio Romagnoli merapatkan kedudukan pada masa kecederaan.

Milan sukar untuk mendapatkan slot Liga Juara-Juara Eropah walaupun berbelanja besar dalam jendela perpindahan dan Montella tetap bertekad mahu terus memberikan saingan sengit.

"Saya berterima kasih kepada kelab kerana memberikan saya sokongan dan keyakinan ini," kata Montella. "Saya berhempas-pulas dalam jadual tetapi sekarang kami mempunyai senarai perlawanan yang lebih mudah dan diharapkan prestasi seperti ini memberikan keputusan yang baik.

"Dua kekalahan terakhir kami menentang Juventus dan Napoli, jadi sudah tentu mereka berada di depan kami. Tetapi walaupun dengan keputusan itu, kami masih berada dalam permainan. Kami mempamerkan karakter, kami berkembang dan ini merupakan prosesnya.

"Seperti yang saya katakan, saya bangga dengan persembahan menentang Napoli, Juve, Roma dan Inter (empat kekalahan daripada empat perlawanan), kerana untuk mencapai tahap mereka, kami memerlukan kesabaran.

"Kami bermain setiap tiga hari, jadi tidak banyak masa untuk berlatih. Kami memerlukan keputusan terus dan ada kerja yang perlu dilakukan. Kami mesti lebih klinikal dan mempunyai sentuhan gol," tambah jurulatih itu.

Tetapi Montella, yang kehilangan penyerang utama, Suso, akibat kecederaan tidak lama sebelum rehat, mengakui kecewa melihat Milan tewas tipis menentang beberapa pesaing Serie A mereka.

"Kami tidak cukup tajam tetapi kami memberikan Napoli banyak masalah," kata Montella. "Saya gembira dengan persembahan. Apabila anda kalah dengan teruk, ia menyakitkan, dan apabila anda kalah dalam masa yang singkat, itu juga mengecewakan.

"Saya benar-benar yakin, saya tidak tahu kenapa. Saya rasa kami telah mengatasi tempoh terburuk musim ini," hujahnya.