Monaco mengumumkan penjaga gol yang telah berkhidmat lama, Danijel Subasic, akan meninggalkan kelab itu, hujung bulan ini.

Pemain berusia 35 tahun dari Croatia itu telah mencatat 292 penampilan buat Monaco sejak hadir daripada Hajduk Split pada 2012.

Subasic -- yang bakal menamatkan kontraknya pada 30 Jun ini -- telah memenangi kejuaraan Ligue 2 dan Ligue 1 serta memperkuatkan skuad yang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah bagi musim 2016-17.

"Saya ucapkan tahniah buat Subasic atas karier gemilang bersama Monaco, kata presiden kelab itu, Dmitry Rybolovlev.

"Dia datang di permulaan projek di mana kami masih dalam divisyen dua dan berdepan pelbagai cabaran di sini serta memberikan sumbangan besar buat pasukan.

"Dia seorang pemain hebat yang menunjukkan kualiti sukan yang mantap serta perwatakan hebat.

"Saya ucapkan terima kasih untuknya di atas kesetiaan serta segalanya yang dilakukan di sini. Subasic akan sentiasa dialu-alukan di Monaco."