MONACO 2 CAEN 0

Juara bertahan Ligue 1, Monaco, terus merapatkan kedudukan dengan pendahulu, Paris Saint-Germain (PSG), selepas menundukkan Caen 2-1 dalam aksi di Stade Louis II, awal pagi tadi.


Selepas tewas di tangan Olympique Lyon 2-3 dalam aksi terdahulu, skuad kendalian Leonardo Jardim itu melayan kunjungan Caen dengan misi merapatkan jurang mata dengan PSG setelah ketinggalan enam mata hasil daripada sembilan perlawanan.

Pemain yang baru berpindah ke Monaco dari Lazio pada musim ini, Keita Balde, memberikan pendahuluan buat tuan rumah selepas berjaya menyempurnakan lorongan bola daripada Thomas Lemar sebelum melepaskan rembatan leret kaki kanan menewaskan penjaga gol, Remy Vercoutre.

Usaha Monaco untuk menambah jaringan dalam babak pertama menemui jalan buntu selepas benteng pelawat bijak memperkemas setiap kawalan.

Penjaring terbanyak liga selepas sembilan aksi, Radamel Falcao, menjadikan jumlah gol peribadinya kepada 12 selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-59 setelah Rony Lopes dijatuhkan oleh pemain sayap Caen, Jan Repas.

Walaupun penalti itu dipersoalkan oleh rata-rata pemain Caen yang mendakwa Lopes dijatuhkan di luar kotak penalti, pengadil perlawanan, Thomas Leonard, tetap dengan keputusannya, sekaligus menjadikan kedudukan 2-0.

Biarpun Caen cuba bangkit untuk merapatkan jurang jaringan, ternyata benteng tuan rumah yang diterajui oleh Jemerson dan Kamil Glik terus cemerlang mengawasi setiap serangan pelawat dan kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Monaco kini mengutip 22 mata hasil daripada 10 perlawanan dan dibezakan tiga mata dengan PSG, namun anak-anak buah Unai Emery berpeluang untuk kembali menjarakkan kedudukan apabila menentang Marseille pada awal pagi Selasa.