Monaco tanggung akibat daripada kesilapan sendiri

Oleh Penulis Jemputan 22 November 2017 787
Monaco tanggung akibat daripada kesilapan sendiri
Leonardo Jardim menyalahkan kesilapan individu selepas kekalahan 4-1 di tempat sendiri kepada RB Leipzig yang menyaksikan Monaco tersingkir daripada Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Dengan juara Ligue 1 itu sah akan menduduki tangga terbawah Kumpulan G gara-gara kegagalan menang mana-mana daripada lima perlawanannya, semi-finalis musim lalu itu tidak pun mampu layak ke Liga Europa.

Dua kesilapan Jemerson menyebabkan Monaco ketinggalan 2-0 dalam 10 minit pembukaan dan ia disusuli keterlanjuran kapten, Radamel Falcao, yang menghadiahkan lawan satu sepakan penalti – membuat Jardim hanya mampu mengeluh panjang.

“Kami membayar harga yang sangat mahal terhadap kesilapan-kesilapan kami,” kata Jardim. “Kami tidak berada pada tahap yang diperlukan oleh kejohanan ini.

“Ia sangat-sangat mengecewakan, kami meletakkan sasaran untuk bangkit kembali dan menang pada malam ini.

“Sebaliknya, lawan kami yang menang dengan empat gol daripada tiga percubaan tepat tapi kami jelas tidak menepati tahap Liga Juara-Juara musim ini,” tambahnya.

Pengurus Leipzig, Ralph Hasenhuttl, berasa teruja untuk terus menghidupkan peluang pasukannya menjelang pertemuan dengan juara kumpulan, Besiktas, di sebalik kelab Bundesliga itu sekurang-kurangnya terjamin untuk ke Liga Europa.

“Saya boleh mengatakan ini adalah prestasi terbaik kami dalam Liga Juara-Juara,” kata Hasenhuttl. "Kami bermula seperti yang saya mahukan dengan melakukan peralihan-peralihan yang cantik.

"Satu-satunya masalah adalah kecederaan Marcel Sabitzer. Dia mengalami kecederaan teruk di bahu dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

“Kami tahu keputusan di Istanbul (1-1 di antara Besiktas dan Porto). Kemenangan Besiktas harus lebih baik buat kami tapi kami kekal fokus terhadap permainan kami.

"Mulai sekarang, nasib bukan lagi dalam tangan kami tapi kami pasti akan bermain di Eropah pada 2018.

“Saya boleh berjanji bahawa kami akan memenangi perlawanan terakhir kami. Kami boleh berbangga dengan segala usaha kami,” katanya lagi.

Dua gol sumbangan pemain antarabangsa Jerman, Timo Werner, membantu Leipzig meraih kemenangan pertama mereka di tempat lawan dalam Liga Juara-Juara.
 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen