NANTES 0 MONACO 1

Wissam Ben Yedder memberi amaran kepada pasukan lawan bahawa Monaco sudah mula mendapatkan rentak sambil mereka melonjak ke separuh atas carta Ligue 1 buat kali pertama musim ini apabila merakamkan kemenangan 1-0 ke atas Nantes.

Pemain kelahiran Perancis itu merupakan penjaring terbanyak Ligue 1 dengan sembilan gol dan membuktikan impaknya ketika aksi di barat Perancis itu awal pagi tadi.

Ia merupakan kemenangan kelima berturut-turut buat Monaco selepas enam perlawanan pertama tanpa sebarang kemenangan di mana mereka dibolosi 14 gol ketika skuad kendalian Leonardo Jardim itu mula menampilkan peningkatan selepas berjaya mengelak daripada penyingkiran dengan perbezaan dua mata musim lalu.

Gandingan mantap di antara Ben Yedder dan penyerang Algeria, Islam Slimani, merupakan antara faktor kebangkitan Monaco, dengan bekas bintang Sevilla itu berpandangan tiada had mengenai kemampuan pasukannya itu.

"Ini merupakan kemenangan yang berhak diraih Monaco," katanya.

"Saya tidak memiliki sebarang had. Saya sentiasa cuba untuk berusaha dan menjaringkan gol demi pasukan dan diri sendiri. Saya sangat bersyukur kerana dapat membantu pasukan.

"Kami berusaha dan membentuk semua corak permainan untuk mendapatkan keputusan yang positif.

"Gelaran selaku penjaring terbanyak tidak penting bagi saya. Monaco mengharungi musim sukar tahun lalu tetapi kami cuba untuk bangkit sedikit demi sedikit."

Penjaga gol, Benjamin Lecomte, menyatakan kelab itu sedang berusaha untuk kembali ke pentas Liga Juara-Juara (UCL).

"Perlawanan ini mampu menghidupkan semula semangat kami," kata Lecomte.

"Kemenangan menyuntik kekuatan psikologi pasukan. Kami mahu kembali ke pentas Eropah musim depan."