Monaco telah memecat Leonardo Jardim selepas hanya memenangi satu perlawanan dalam saingan Ligue 1 musim ini.

Jardim, membimbing kelab itu untuk menjuarai Ligue 1 pada musim 2016-17, menamatkan dominasi Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan domestik manakala mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) pada musim yang sama.

Tetapi barisan berbakat Monaco runtuh disebabkan tawaran lumayan kelab gergasi Eropah, dengan bintang seperti Kylian Mbappe, Bernardo Silva, Thomas Lemar, Fabinho dan Benjamin Mendy menyertai kelab ternama bagi mengejar kejayaan di pentas lebih tinggi.

Jardim terpaksa menerima padah apabila Monaco bermula hambar musim ini, mengutip enam mata selepas sembilan perlawanan, manakala kekalahan kepada Atletico Madrid dan Borussia Dortmund menyaksikan mereka kini tercorot dalam Kumpulan A UCL.

"Saya bersyukur dan berbangga kerana dapat membimbing AS Monaco sebagai jurulatih lebih daripada empat tahun," kata Jardim.

"Saya sentiasa memberikan yang terbaik dan bekerja penuh dengan semangat. Kami mencipta beberapa kemenangan bersama-sama dan saya akan menyimpan setiap kenangan itu," ujarnya.

Pemecatan Jardim meninggalkan spekulasi mengenai Thierry Henry, yang memulakan karier profesional di Monaco, dilihat bakal mengambil alih kelab tersebut.

Pemegang rekod jaringan Arsenal itu, yang turut memiliki pengalaman beraksi bersama Barcelona, Juventus dan New York Red Bulls, telah dikaitkan dengan jawatan bersama kelab England, Aston Villa.

Monaco buat masa ini belum memberikan ulasan mengenai spekulasi tersebut, dengan naib presiden kelab, Vadim Vasilyev, memberikan penghormatan kepada Jardim yang mengundurkan diri.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jardim di atas usahanya untuk kelab ini," katanya.

"Beliau akan kekal sebagai salah satu memori indah kelab ini dan sentiasa sebahagian daripada keluarga Monaco."